KOTA BHARU - Kementerian Pendidikan meminta pengarah pendidikan negeri memantau tindakan segelintir guru mengkritik Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) secara terbuka.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata sebarang kritikan seharusnya disampaikan menerusi saluran yang betul bagi memastikan kelemahan dapat diperbaiki.

"Kalau mahu mengkritik boleh, tetapi beritahu saya. Saya terbuka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar PPPM di sini hari ini.

Beliau berkata guru yang mempunyai kemusykilan atau pandangan boleh memaklumkan kepada beliau secara langsung menerusi e-emel.

Pada masa yang sama beliau meminta rakyat memberi peluang kepada kerajaan melaksanakan PPPM sebaik mungkin.

Sementara itu, Idris turut membidas sebuah portal berita propembangkang yang memutar belit kenyataannya berhubung sistem pendidikan negara baru-baru ini.

"Saya tidak pernah mengatakan kalau tidak suka sistem pendidikan kita, mereka boleh keluar negara, saya tidak pernah mengatakan demikian," katanya.

Sebaliknya Idris berkata beliau maksudkan rakyat mempunyai pilihan untuk belajar di luar negara jika mereka berkemampuan.

"Saya harap pemberita dan penulis blog jujurlah...jangan apa-apa kenyataan kita buat, ditulis hinggakan banyak orang marah. Saya harap mereka membetulkan (perkara itu)," katanya. - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.