SEGAMAT - Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) lebih serius mengatasi kemelut isu permohonan pertukaran guru atau isu guru duka lara.  

Presidennya, Normala Sudirman berkata, KPM diminta mempertimbangkan permohonan secara holistik atas pertimbangan kemanusiaan dan bukannya hanya menilai dari aspek permohonan dan hujah di atas kertas sahaja.

“Jarak yang terlalu jauh dan menjalani hidup berasingan bertahun-tahun walaupun bergelar suami isteri akan menjejaskan emosi dan boleh menyebabkan berlaku kemurungan jika dibiarkan sahaja dan ini sekali gus mengganggu konsentrasi profesionalisme guru dalam mendidik anak bangsa.

“Faktor kos sara hidup dan hidup bersendirian mencari rezeki bagi guru wanita yang terpisah jauh daripada suami tapi dalam masa sama terpaksa menjaga anak-anak, cukup menguji kesabaran jika tidak mendapatkan sokongan daripada rakan, majikan, keluarga dan ibu bapa,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Menurutnya, permohonan kelulusan pertukaran 2,245 guru baru-baru ini dalam jawapan ‘Eg-Tukar’ berbanding jumlah permohonan lebih 23,000 pertukaran guru juga cukup mendukacitakan dan Pendidik mendesak isu guru duka lara diatasi secara lebih serius dan bukannya sekadar retorik politik semata-mata.

“Walaupun KPM memberikan alasan bahawa pertukaran ini kerana opsyen berbeza dan permohonan anak tempatan balik ke Negeri Pantai Timur atau Pantai Barat terlalu banyak, namun persoalannya, bagaimana dengan isu permohonan pertukaran guru di semenanjung pula?

“Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik perlu melihat perkara ini dengan lebih serius kerana ramai guru yang sebenarnya menderita kerana pertukaran mereka gagal dan kita tidak mahu perkara ini menjadi barah dalam sektor pendidikan negara,” katanya.

Normala berkata, statistik juga menunjukkan bahawa faktor jarak dan tempoh berjauhan antara pasangan menjadi salah satu faktor penyumbang berlakunya kes perceraian guru selain faktor seperti orang ketiga, beban tugas, tekanan hidup dan kos sara hidup.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang guru di Johor Bahru mahu 'melelong' enam anaknya kerana gagal pertukaran sekolah.

[ARTIKEL BERKAITAN: Guru 'lelong' enam anak kerana kecewa gagal pertukaran?]

Kisah yang dimuat naik di Facebook dan dikongsi pengguna mendapat pelbagai respons netizen yang menggambarkan isu guru duka lara semakin membarah dan parah.