KUALA LUMPUR - Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menggesa kerajaan menggubal Akta Gangguan Seksual bagi melindungi mangsa gangguan seksual.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, WAO berkata akta berkenaan tidak hanya memberi fokus di tempat kerja namun ia harus dilakukan secara menyeluruh termasuk di kawasan awam.

"Akta Gangguan Seksual mesti mewujudkan mekanisme yang perlu seperti tribunal bebas bagi membolehkan pengadu kes mendapat keadilan dengan pantas, tidak membebankan daripada segi kos dan melindungi privasi," katanya.

Akta ini harus mewajibkan pelbagai institusi melaksanakan dasar-dasar berkaitan gangguan seksual.

"Pelaksanaan undang-undang yang kukuh merupakan benteng menunjukkan bahawa gangguan seksual adalah perilaku yang salah dan tidak boleh diterima sama sekali.

"Seiiring dengan penggubalan undang-undang, kita perlu mengubah nilai dan norma masyarakat bagi memberi ruang kepada pengadu untuk menceritakan kisah gangguan yang mereka alami," katanya.- Bernama