SHAH ALAM - Kementerian Kewangan akan terus membongkarkan semua skandal kewangan dalam tempoh masa 100 hari seperti diarahkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, rakyat berhak tahu tentang kedudukan sebenar ekonomi dan status kewangan negara.

“Rakyat tidak mahu kerajaan sorok-sorok atau sembunyikan lagi. Semasa berjumpa dengan Datuk Seri Anwar (Ibrahim), beliau juga bersetuju.

“Kementerian saya akan terus membongkarkan semua skandal kewangan dalam tempoh masa 100 hari seperti mana yang diarahkan Perdana Menteri. Kita harus berani kerana benar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam wawancara dengan Astro Awani bahawa Guan Eng sepatutnya menyerahkan tanggungjawab membongkar salah laku dan penyelewengan kepada menteri atau agensi lain.

Menurut Guan Eng, beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan menteri lain mendedahkan skandal kewangan yang berlaku.

“Saya bukanlah Perdana Menteri dan tidak mempunyai kuasa untuk memberikan arahan kepada menteri-menteri lain bagi mendedahkan skandal kewangan yang berlaku dalam bidang kuasa Kementerian Kewangan.

“Tidaklah kena pada tempatnya untuk saya mengarahkan seorang menteri yang lain mendedahkan skandal kewangan kerajaan lama yang berlaku dalam Kementerian Kewangan yang disandang oleh saya,” katanya.

Katanya, beliau juga telah memberi penerangan kepada Anwar mengenai keadaan ekonomi negara dan skandal kewangan yang memudaratkan beban tanggungan hutang.

“Keadaan fiskal Kerajaan Persekutuan terjejas kerana hutang yang melebihi RM1 trilion seperti didedahkan Perdana Menteri ekoran skandal kewangan 1MDB dan perbelanjaan yang boros sebelum ini.

“Anwar juga terkejut dengan impak negatif meluas berhubung penyelewengan kewangan oleh kerajaan lama dalam bentuk memalsukan penyata kewangan, menyorokkan fail penyata kewangan dan menanda fail penyata kewangan berwarna merah khas untuk orang tertentu sehingga tidak boleh diakses oleh Ketua Audit Negara,” katanya.

Malah, katanya, Anwar juga faham bahawa semua pendedahan skandal kewangan berkaitan 1MDB dan skandal lain di dalam media dibuat atas arahan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata, beliau menghargai input Anwar dan mengalu-alukan pandangan ataupun maklum balas rakyat bagaimana untuk menyelamatkan ekonomi negara.

“Semua pandangan akan diterima dengan hati terbuka,” katanya.