PETALING JAYA - "Hari ini kita semua membuktikan bahawa rakyat Malaysia mencintai kebebasan, keadilan dan demokrasi," kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ucapan di Himpunan Merdeka Rakyat di Padang Timur, Petaling Jaya, bagi menyambut pembebasan Ketua Umum Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, Malaysia berani berubah kerana rakyat telah membuktikan yang terbaik.

"Kerana kepercayaan anda, Malaysia dapat dibebaskan. Kerana anda, hari ini kita bebas daripada BN. Kerana anda, kita semua bebas daripada penyalahgunaan kuasa.

"Paling penting hari ini kita dapat meraikan pembebasan Anwar," katanya.

Beliau berkata,  dahulu, ketika Anwar dipenjarakan, kita semua masih sebagai parti pembangkang, tetapi hari ini bila beliau (Anwar) telah dibebaskan, beliau keluar sebagai sebahagian daripada kerajaan Malaysia.

Katanya, inilah perubahan yang rakyat Malaysia tunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia bukanlah kleptokrasi tetapi demokrasi.

"Hadiah paling hebat kerana kita tolak BN, kita matikan GST (cukai barang dan perkhidmatan)," katanya.