PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa gagal dalam ujian perakaunan kerana keliru dengan Kumpulan Wang Disatukan dan Akaun Hasil Disatukan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Najib menghadapi kesukaran membezakan antara Akaun Hasil Disatukan dan Kumpulan Wang Disatukan apabila mendakwa pada 31 Disember 2017, kerajaan Persekutuan mempunyai RM18.06 bilion untuk dibelanjakan dan bukan sebanyak RM11.86 bilion.

“Najib salah anggap bahawa jumlah di dalam Kumpulan Wang Disatukan boleh digunakan.

“Padahal mengikut undang-undang, kerajaan cuma boleh menggunakan Akaun Hasil Disatukan untuk perbelanjaan pengurusan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, Najib juga masih enggan menjelaskan mengapa hanya ada RM450 juta dalam Akaun Hasil Disatukan yang ditinggalkan kepada kerajaan PH pada 30 April 2018, iaitu penyusutan sebanyak 96 peratus atau RM11.41 bilion, berbanding dengan RM11.86 bilion pada 31 Disember 2017.

“Pada 31 Disember 2017, sejumlah RM11.86 bilion di dalam Akaun Hasil Disatukan telah merosot kepada RM450 juta pada 30 April berikutan perbelanjaan yang berlebihan untuk tempoh empat bulan dari Januari 2018 hingga April 2018.

“Jelas, ini adalah “perbelanjaan pilihanraya umum” yang digunakan untuk cuba membantu BN memenangi PRU14 yang lalu,” katanya.

Katanya, Najib tidak sepatutnya berpura-pura mengenai kedudukan fiskal sebenar dengan menegaskan bahawa BN telah meninggalkan puluhan billion ringgit kepada kerajaan PH tetapi hakikatnya cuma ada RM450 juta sahaja.

“Najib mendakwa bahawa beliau bukan lagi Menteri Kewangan apabila penyata kewangan bulanan untuk 30 April 2018 yang belum diaudit disediakan.

“Beliau juga mendakwa terkejut apabila mendapati kerajaan BN cuma meninggalkan RM450 juta di dalam Akaun Hasil Disatukan kepada kerajaan PH dan ini sama sekali tidak benar. Bayangkan, hanya ada RM450 juta sahaja yang boleh dibelanjakan untuk membayar gaji dan pencen sedangkan untuk ini sahaja kerajaan memerlukan lebih RM8 bilion sebulan,” katanya.

Pada masa sama, Guan Eng turut mempersoalkan sama ada Najib masih lagi keliru untuk membezakan atau memahami apa sebenarnya kandungan Hasil Akaun Disatukan walaupun beliau memegang jawatan Menteri Kewangan selama 10 tahun.

“Najib, tanpa usul periksa, mempersoalkan kesahihan penyata kewangan bulan April 2018 yang belum diaudit dan secara tidak langsung menuduh saya memanipulasi angka-angka tersebut.

“Sebagai bekas Menteri Kewangan, beliau sepatutnya arif bahawa penyata kewangan bulanan kerajaan Persekutuan disediakan secara berasingan oleh Jabatan Akauntan Negara,” jelasnya.

Menurutnya, Najib sekali lagi gagal untuk menyedari bahawa Menteri Kewangan masih belum mengangkat sumpah apabila penyata kewangan bulanan untuk 30 April 2018 yang belum diaudit disediakan.

“Beliau sepatutnya tidak mempersoalkan kredibiliti penyata kewangan bulanan tersebut.

“Najib sebaliknya harus menjelaskan mengapa terdapat penyusutan sebanyak 96 peratus atau RM11.41 bilion dalam Akaun Hasil Disatukan pada 31 Disember 2017 sehingga 30 April 2018, dan hanya meninggalkan RM450 juta kepada kerajaan PH,” katanya.