KUANTAN - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang menyokong penuh pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Datuk Seri Muhyiddin Yassin, kelmarin.

Pengerusinya, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, pelan pendidikan yang komprehensif dan inklusif ke arah pembinaan masyarakat Malaysia yang maju  dilihat mampu melonjakkan tahap pendidikan negara.

Menurutnya, pengambilan guru dalam kalangan 30 peratus graduan terbaik membuktikan komitmen kerajaan memartabatkan profesion perguruan negara.

“Malah kepimpinan berprestasi tinggi yang ditempatkan di sekolah juga mampu merealisasikan proses transformasi pendidikan ke arah lebih berkualiti.

“Pelan pendidikan yang menyeluruh ke arah memastikan Malaysia terus kompetitif dan dinamik seiring arus perubahan global dalam masa sama menolak fahaman sempit cauvinis yang terus mempertikaikan keberkesanan program,” katanya.

Katanya, melalui garapan idea dan penghasilan pelan dari kajian pelbagai sumber dilihat mampu menaikkan imej pendidikan negara di peringkat antarabangsa.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.