SHAH ALAM - Penerima zakat tidak hanya terikat kepada golongan fakir dan miskin tetapi juga mungkin layak untuk golongan yang dilihat 'berduit'.

Ketua Operasi Agihan Daerah Petaling, Mohd Nur Fadhli Yohman, berkata, umum sering mengaitkan zakat untuk golongan susah sedangkan zakat sebenarnya untuk golongan yang berhak.

Justeru menurutnya, dalam memperluaskan definasi zakat sebenar, pihaknya kini mengambil inisiatif baharu menerusi pendekatan bersama golongan yang berpotensi sebagai penerima zakat walaupun mempunyai pendapatan bulanan yang stabil.

"Sebelum ini menerusi Skuad Jejak Kemiskinan, kita pergi mencari penerima zakat dari pintu ke pintu. Sekarang ini kami melebarkan lagi usaha untuk mengenal pasti penerima zakat dalam kalangan kakitangan agensi-agensi yang mungkin dilihat sebagai golongan yang berkemampuan namun mereka ini mungkin mempunyai tanggungan tertantu yang boleh melayakkan mereka menerima zakat.

"Golongan ini mungkin tidak layak dalam menerima bantuan fakir miskin tapi layak untuk bantuan-bantuan lain seperti bantuan langsaikan hutang, pendidikan dan juga kos rawatan tertentu.

"Bagaimanapun, pemberian zakat kepada golongan ini bergantung kepada keperluan dan tekanan kehidupan yang dihadapi," katanya ditemui sempena Program Hari Bersama Zakat - Anda Dan Hak Anda, di  Dewan Sultan Muhammad ke-V, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut,  Mohd Nur Fadhli, berkata, pendekatan yang dilaksanakan terhadap organisasi bukan menunjukkan ketidakmampuan majikan dalam menyediakan pendapatan yang secukupnya untuk pekerja tetapi sebagai satu bentuk usaha memastikan kakitangan mengetahui dan mendapatkan hak mereka sekiranya layak menerima zakat.

Ujarnya, Kumpulan Media Karangkaraf menjadi organisasi pertama bekerjasama dalam menjayakan program tersebut dan akan disusuli dengan dua lagi organisasi besar untuk sasaran pada tahun ini.

"Selalunya kita datang ke organisasi untuk cari pembayar zakat. Tapi kali ini kami datang untuk cari siapa mahu zakat. Kini untuk rekod, dalam Daerah Petaling sahaja, iaitu Shah Alam, Puchong, Petaling Jaya, Subang dan Damansara, seramai 8,000 keluarga fakir merupakan penerima zakat.

"3,000 daripadanya merupakan penerima bantuan bulanan sementara yang lain merupakan penerima bantuan-bantuan lain. Penerima bagi Daerah Petaling ini dikategorikan sebagai miskin bandar yang mampu melayakkan mereka menerima zakat,"katanya.