KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama, Allahyarham Ahmad Zukiman Mohd Zain, yang meninggal dunia di hospital KPJ Tawakkal, Jalan Pahang, petang ini.

“Ucapan takziah kepada keluarga En Ahmad Zukiman,” demikian mesej tweet beliau.

Ahmad Zukiman, 57, yang menghidap fibrosis pulmonari, sejenis penyakit paru-paru kronik, sejak beberapa tahun lepas, dimasukkan ke hospital itu pada Ahad lepas, setelah terjatuh di kediamannya di sini.

Allahyarham yang dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, meninggalkan isteri, Nik Rozana Nik Hassan dan 11 anak.

Seorang penulis yang gigih dan penuh budi bahasa, pemergian Ahmad Zukiman akan sentiasa dirasai oleh rakan setugas di Bernama serta sahabat di kalangan media. Beliau berkhidmat di Bernama selama lebih 35 tahun.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarang Bernama News Channel Abdul Rahman Ahmad ketika ditemui di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat, dekat sini menyifatkan Ahmad Zukiman sebagai seorang yang ramah dan gemar bergurau dengan rakan-rakannya.

"Saya mengenali Allahyarham ketika mula bertugas di Bernama pada 1982 dan pastinya akan merasai kehilangan beliau. Saya juga amat bersimpati kerana beliau telah beberapa tahun menghidapi penyakitnya itu," katanya.

Jenazah Allahyarham dibawa ke masjid berkenaan untuk disembahyangkan, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman  Keramat  malam ini.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh pula berkata Allahyarham akan diingatinya sebagai sahabat dan rakan sekerja yang baik.

"Beliau seorang yang sangat berdedikasi walaupun ketika kesihatan beliau mula merosot. Beliau juga sering mengajak rakan-rakan sekerjanya supaya menghargai organisasi tempat mereka bekerja," katanya yang mengenali Ahmad Zukiman sejak 30 tahun lepas. - Bernama