KUALA LUMPUR - Suasana Dewan Rakyat hari ini bertukar kecoh apabila ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengeluarkan perkataan kesat.

Situasi itu berlaku ketika Bung berucap di Dewan Rakyat mengenai perbahasan penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Saya ke pasar borong Selayang dan melihat harga barang, harga barang waktu GST rendah...,” katanya ketika mencelah ucapan perbahasan penghapusan GST oleh ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Namun ucapan Bung terhenti apabila ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin cuba membuat provokasi.

“Bukan pergi kasino ke Kinabatangan,” katanya.

Situasi itu menyebabkan Bong berang dan meminta supaya Willie menarik semula kenyataan tersebut.

“Apa ini biadab, kurang ajar! tarik balik! Ini biadab Yang Di Pertua! dia kurang ajar dan tak layak duduk sini.

“Samseng, apa yang awak mahu, nak gaduh dengan saya?,” katanya.

Situasi menjadi lebih tegang apabila Bung tidak dapat mengawal kemarahannya sehingga mengeluarkan perkataan  kesat terhadap Willie.

“F.....! Kau salah orang,” tegasnya.

Willie membalas kenyataan tersebut dengan meminta supaya Bung diajar oleh pemimpin BN yang lain untuk menghormati dewan.

“Dalam dewan yang mulia ini kita telah ‘disekolahkan’ oleh ahli Parlimen Kuala Krau, jadi saya minta beliau ‘sekolahkan’ pihak di sana,” katanya.

Perkataan kesat itu juga menyebabkan rata-rata pemimpin Pakatan Harapan (PH) mendesak supaya Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon mengambil tindakan terhadap Bung.

Kemarahan Bung tidak terhenti di situ apabila beliau terus melemparkan perkataan kurang sopan.

“Tindakan kepala bapak!,” katanya.

Pertelingkahan tersebut terus berlarutan sehingga Timbalan Yang Dipertua mencelah berikutan masa perbahasan sesi pagi telah tamat dan akan bersambung 2.30 petang.