BERA - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan memperluaskan Program Pemeriksaan Elektrikal GiatMara bagi membantu penduduk luar bandar mengatasi masalah pendawaian elektrik di kediaman masing-masing.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program akan dikendalikan pusat GiatMara yang dilaksanakan secara berterusan mulai tahun ini berdasarkan kepada peruntukan yang disediakan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, program ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial GiatMara untuk membantu penduduk luar bandar dalam aspek pendawaian elektrik bagi mengelakkan perkara-perkara tidak diingini seperti litar pintas daripada berlaku.

"Pada program pertama ini, dua kampung terlibat iaitu kampung Bohor Baru dan Kampung bukit Serdang di Bera yang membabitkan 232 buah rumah penduduk sebelum kita perluaskan ke seluruh negara.

"Program tersebut akan dilaksanakan secara percuma melibatkan peruntukan maksimum kira-kira RM1,000 bagi setiap rumah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Program 'Preventive Maintenance' Pendawaian Elektrik GiatMara di Dewan Kampung Bohor Baru, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi GiatMara, Datuk Azian Osman; Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Jamal Nasir Osman dan Pengarah GiatMara negeri, Kamarudin Awang.

Ismail Sabri berkata, program berkenaan akan melibatkan 20 pusat GiatMara dengan jumlah kira-kira 1,300 jumlah pelatih pusat kemahiran berkenaan.

Katanya, selain membantu masyarakat luar bandar, program ini juga dapat memberikan latihan secara terus kepada pelatih GiatMara serta akan melakukan pemantauan berterusan.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan kepada pemantauan setakat ini terdapat beberaa risiko keselamatan rumah yang perlu ditangani segera bagi mengelakkan risiko litar pintas dan kebakaran.

"Antara masalah yang dikenal pasti termasuklah pendawaian elektrik yang usang dan memerlukan pendawaian semula termasuklah Pendawaian lama yang berusia sehingga 30 tahun.

"Selain itu juga terdapat mentol lampu yang rosak dan juga soket elektrik longgar dan perlu pembaikan bagi mengelakkan risiko yang boleh membahayakan penduduk," katanya.