BATU CAVES - Pusat latihan GiatMara mengambil satu langkah ke hadapan untuk memperkasakan pelatihnya dalam bidang permotoran kuasa besar, apabila menandatangani memorandum perjanjian (MOA) dengan sebuah syarikat gergasi permotoran Jepun, Kawasaki Motors.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merupakan batu loncatan untuk pelatih GiatMara untuk berkecimpung dalam bidang tersebut, memandangkan semakin ramai rakyat Malaysia yang sukakan motosikal berkuasa besar.

"Kalau sebelum ini, pelatih hanya menjalani kursus motosikal satu dan dua silinder sahaja. Tetapi dengan kolaborasi ini, mereka boleh menjalani kursus motosikal empat silinder pula.

"Bagi saya, ini adalah satu inisiatif yang baik, seiring dengan minat anak muda sekarang ini yang lebih meminati motosikal berkuasa besar," katanya semasa berucap pada Majlis Pertukaran MOA Program Latihan Superbike di antara GiatMara dan Kawasaki Motors (Malaysia) di Giat Mara Batu, di sini, hari ini.

Dalam majlis sama, Ismail turun menyerahkan geran Pembangunan Produk Usahawan GIATMARA kepada 30 peserta dan geran Mobile Truck kepada 22 peserta.

Menurutnya, hasil MOA tersebut, pelatih Giat Mara Batu dalam Kursus Motosikal Tinggi boleh menjalani latihan di bengkel Kawasaki Motors yang dibina di GiatMara itu.

Selain latihan, syarikat itu akan menyediakan peralatan yang sesuai untuk pelatih melakukan latihan mereka sebaik mungkin.

"Setakat ini, seramai 91 pelatih berjaya menamatkan kursus ini, dengan kebanyakan daripada mereka telah berjaya mendapat pekerjaan dan membuka perniagaan sendiri," ujarnya. 

Sementara itu, Pengerusi Kawasaki Motors (Malaysia), Ahmad Faez Tan Sri Yahaya berkata, pihaknya berharap usaha sama antara kedua-dua pihak dapat meningkatkan industri permotoran negara.

"Kami mempunyai kepakaran untuk menyediakan individu untuk bersedia dalam dunia permotoran dengan ilmu secukupnya," ujarnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KANGAR - Peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Pusat GiatMara bagi membaik pulih serta menyelenggara sistem pendawaian di semua sekolah tahfiz berdaftar di seluruh negara, merupakan satu langkah sangat bermakna dalam memperkasa institusi berkenaan.
  • BERA - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan memperluaskan Program Pemeriksaan Elektrikal GiatMara bagi membantu penduduk luar bandar mengatasi masalah pendawaian elektrik di kediaman masing-masing.
  • KOTA BHARU - GiatMara akan menghantar enam pelatihnya yang juga pemenang pingat emas Pertandingan Asean Skills Competition (ASC) untuk menyertai World Skills Competition di Abu Dhabi September depan.
  • KUANTAN - GiatMara menerima peruntukan sebanyak RM3 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk melaksanakan program konsep perniagaan baharu iaitu Usahawan Bergerak (Mobilepreneur).