PETALING JAYA - Industri getah dijangka menjadi penyumbang komoditi nombor satu kepada ekonomi negara susulan minyak sawit menghadapi kesukaran dalam pasaran antarabangsa, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim.

Beliau berkata dari segi pendapatan eksport komoditi, getah dan produk getah kini penyumbang kedua terbesar selepas minyak sawit.

“Pada 2017, pendapatan eksport daripada getah dan produk getah menyumbang RM32.1 bilion kepada eksport negara, (naik sebanyak 30.2 peratus berbanding 2016).

“Industri produk getah berkembang daripada hanya 20 pengeluar pada tahun 1970-an kepada lebih 300 hari ini,” katanya pada Malam Anugerah Industri Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) di sini, malam ini.

Teresa berkata, 11 daripada pengeluar tersebut kini merupakan penggiat utama dan disenaraikan di Bursa Malaysia dengan permodalan pasaran sebanyak RM33.6 bilion.

“Malaysia antara pengeksport utama dunia bagi produk getah yang mengeksport produk ke 195 negara. Malaysia juga pengeluar dan pengeksport sarung tangan getah terbesar di dunia. Oleh itu, saya harap segmen produk getah kering akan terus catat pertumbuhan eksport lebih menggalakkan.

“Ini tempoh yang mencabar. Di peringkat luaran, konflik perdagangan AS-China, jika berlarutan, boleh menjejaskan pertumbuhan dan permintaan global. Di peringkat domestik, sektor swasta perlu meningkatkan pelaburan untuk memacu pertumbuhan ekonomi terutaman dalam sektor hiliran,” katanya.

Menurutnya, industri getah Malaysia perlu mengguna pakai automasi yang lebih baik untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti untuk membantu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Pelaburan sedemikian, katanya akan memberi manfaat kepada negara dari segi pemindahan teknologi, mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, penubuhan industri dan memacu inovasi.

Sementara itu, pada Anugerah Industri MREPC 2018 hari ini, seramai 14 pemenang dinobatkan sebagai terbaik dalam industri untuk sumbangan dan prestasi cemerlang kepada ekonomi negara.  

Tahun ini adalah kali kedua MREPC menganjurkan Anugerah Industri itu selepas kali pertama pada 2015.

Selain anugerah bagi kecemerlangan eksport, tiga kategori anugerah yang baharu turut diperkenalkan, iaitu Paling Inovatif, Perniagaan Hijau dan Pemasar Terbaik.

Anugerah itu menggariskan kepentingan kepada inovasi dan kreativiti; pembuatan yang mampan melalui pelaksanaan amalan hijau dan usaha pemasaran untuk mempamerkan produk Malaysia kepada dunia.

Industri getah dan produk getah merupakan komponen penting kepada ekonomi Malaysia, menyokong kira-kira 440,000 pekebun kecil getah, manakala 84,000 pekerja dalam aktiviti pertengahan dan hiliran. - Bernama