IPOH - Kerajaan dicadangkan menggubal satu akta khas bagi menangani gejala penularan ketum dalam kalangan masyarakat negara ini dan tidak disertakan dalam mana-mana Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952 sebagaimana disarankan sebelum ini.

Pengasas Program Anak Wawasan (Awas) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kerian, Dr Azemi Shaari berkata, cadangan pengasingan akta melibatkan gejala ketum dilihat amat mendesak kerana senario itu semakin membarah dalam kalangan generasi muda dan tiada satu tindakan undang-undang konkrit digubal bagi menghalang penularannya.

Menurutnya, pengasingan akta berkaitan penyalahgunaan ketum membolehkan usaha membanteras kegiatan tidak sihat itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh, bermula dengan tindakan menanam pokok ketum, memindahkan daun ketum hingga ke proses penghasilan air ketum.

"Pada ketika ini, undang-undang melibatkan penyalahgunaan ketum agak longgar apabila diletakkan di bawah Akta Racun 1952 di mana tindakan penguatkuasaan hanya boleh dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan.

"Selain itu, agensi penguatkuasaan berkaitan seperti AADK tidak boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas pesalah ketum kerana hanya pihak polis sahaja yang boleh mengambil tindakan dengan syarat di bawah seliaan Kementerian Kesihatan," katanya kepada Sinar Harian ketika menjadi tetamu Sinar Live hari ini.

Turut hadir Ikon Perangi Dadah Habis-habisan daerah Kerian, Nizam Ramli.

Azemi berkata, selain masalah penguatkuasaan, terdapat konflik dalam menentukan jenis kesalahan berkaitan ketum apabila tindakan menanam pokok ketum di tanah persendirian bukan merupakan satu kesalahan, berbanding tindakan membawa dan proses daun ketum untuk dijadikan air.

Menurutnya, perkara ini disebabkan tiada terkandung dalam Kanun Tanah Negara yang menyatakan kesalahan menanam ketum di atas tanah persendirian.

"Namun, adalah menjadi satu kesalahan apabila daun ketum dipindahkan, dijual dan diproses di bawah Akta Racun 1952 dan keadaan ini dilihat tidak seimbang dari segi kaedah penguatkuasaan undang-undang.

"Sepatutnya satu akta baharu digubal demi memastikan sebarang usaha ke arah menanam, mengedar, menjual, memproses dan mengkomersilkan ketum dibanteras sepenuhnya susulan implikasi negatif besar dibawa bahan itu," katanya.

Azemi yang merupakan bekas pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) turut mencadangkan satu lembaga khas menyelia penanaman ketum ditubuhkan seperti Lembaga Tembakau Negara suatu ketika dahulu sekiranya kerajaan masih berkira-kira menjadikan sektor penanaman itu sebagai satu sumber pendapatan negara.

Menurutnya, sebuah lembaga khas penting demi memastikan aktiviti penanaman ketum secara komersil dapat diselia secara lebih terperinci dengan pengenalan prosedur sangat ketat kepada pengusahanya.

"Namun, ketika ini, saya mendapati banyak tanaman membawa ketagihan seperti tembakau dan popi diproses menjadi satu dadah sintetik atau rokok dan dieksport kembali kepada rakyat negara ini untuk memenuhi kehendak ketagihan mereka.

"Jadi, secara peribadi saya berpendapat daripada kita hendak mengejar keuntungan menanam ketum bernilai RM45 sekilogram, lebih baik kita memikirkan kaedah terbaik menjaga masa hadapan generasi muda negara ini kerana tindakan semberono itu mungkin boleh mengorbankan 45,000 anak muda," katanya.

Azemi berkata, kesan penyalahgunaan ketum lebih berbahaya daripada dadah kerana selain tindakan penguatkuasaan longgar dan harga bahan itu yang murah, ketagihan ketum juga memberi implikasi sama dengan kesan ketagihan dadah sintetik.

Lebih membimbangkan, tempoh ketagihan ketum juga sangat cepat dalam tiga bulan sahaja dan penggunanya akan menghadapi masalah membuang ketagihan tersebut kerana sehingga kini tiada penawar untuk mengatasinya.

Azemi turut mendedahkan tahap pengetahuan masyarakat luar bandar terutama di negeri-negeri utara semenanjung mengenai fungsi AADK dan jenis penyalahgunaan dadah adalah hampir kosong peratus.

Menurutnya, daripada kajian ilmiah dibuat membabitkan 7,584 responden seluruh negeri Kedah, hanya empat orang sahaja yang mengetahui fungsi AADK dan jenis penyalahgunaan dadah dan dua daripadanya terdiri doktor perubatan.

"Lebih mengejutkan, terdapat situasi di mana ada pelajar sekolah yang membawa sebotol air ketum ke sebuah sekolah di Kedah, namun tidak disedari guru-guru kerana  beranggapan botol itu berisi air tebu.

"Atas faktor itu, saya bersama Nizam menubuhkan satu program khas dipanggil Anak Wawasan (Awas) bermula di daerah Kerian dengan objektif utama untuk memberi didikan dan kesedaran kepada guru-guru sekolah dan pemimpin masyarakat setempat.

"Melalui pelbagai program pendidikan diberikan, guru-guru dan pemimpin masyarakat bukan sahaja mampu membantu AADK menjadi ejen memberi kesedaran mengenai bahaya dadah dan ketum, bahkan mereka juga mampu menjadi mata-mata AADK dalam mengenal pasti mana-mana pelajar terjebak gejala tidak sihat itu," katanya.

Azemi turut mengharapkan sokongan semua pihak termasuk kerajaan negeri dalam memastikan program Awas tersebut dapat diperluaskan ke seluruh negeri kerana pada ketika ini badan sukarela itu bergerak menggunakan modal sendiri.

"Program ini digerakkan semata-mata atas kesedaran untuk membantu anak bangsa dan generasi muda negara ini daripada terus terjerat dengan gejala penyalahgunaan dadah dan ketum dan saya fikir semua pihak perlu memainkan peranan bagi menjayakannya.

"Saya turut berharap program ini mendapat perhatian khusus kerajaan Perak dan Pemadam negeri kerana ianya terbuktj memberi kesan positif meskipun baru dilaksanakan sejak tiga bulan lalu," katanya.