PUTRAJAYA - Cadangan semak semula Garis Panduan Pemaliman di Timur Selat Johor  (EJS) untuk melonggarkan sekatan trafik maritim bagi kapal beroperasi pada waktu malam di perairan Singapura akan meningkatkan  produktiviti dan keberkesanan pelayaran serta keselamatan keseluruhan pelayaran di sepanjang EJS, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata Singapura bersetuju menyemak semula EJS susulan pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari republik itu Lee Hsien Loong pada Pemukiman Pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura ke-8 semalam.

Katanya pada masa ini Garis Panduan Pemaliman EJS hanya membenarkan kapal dengan panjang  lebih 240 meter melalui selat itu pada waktu siang.

“Kami meminta mereka (Singapura) memperuntukkan kita masa yang lebih fleksibel untuk menggunakan laluan… Sekatan yang dikenakan pada masa ini mengehadkan keberkesanan operasi Pelabuhan Johor dan pada masa sama mewujudkan kesesakan dengan menghimpunkan  kapal-kapal di laluan yang sendat,” katanya pada sidang media, di sini hari ini. 

Tiong Lai berkata setiap tahun, lebih 6,000 kapal melalui selat itu untuk memasuki Pelabuhan Johor, Terminal Pelabuhan Tanjung Langsat serta fasiliti lain di Pelabuhan Pasir Gudang.

Terdahulu, Tiong Lai menyaksikan pemeteraian memorandum kerjasama di antara Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Telekom Malaysia Berhad untuk pelaksanaan sistem eCall Malaysia.

Mengenai pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370  di selatan Lautan Hindi yang bermula hari ini, Tiong Lai berkata kerajaan Malaysia akan bekerjasama rapat dengan pasukan pakar dan pemilik kapal untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat bagi disampaikan kepada waris.

“Ada dua pegawai Malaysia di atas kapal itu yang akan menghantar perkembangan harian kepada pasukan respons yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman. Beliau akan menerima maklumat harian mengenai operasi,” katanya.

Rabu lepas Malaysia menandatangani perjanjian dengan syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat,  Ocean Infinity Limited untuk memulakan pencarian baharu MH370.

Kapal Seabed Constructor akan meliputi kawasan seluas 25,000 kilometer persegi dalam tempoh 90 hari.

Operasi pencarian MH370 yang dilaksanakan secara bersama oleh Australia, China dan Malaysia ditangguhkan pada Januari tahun lepas setelah operasi di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi  gagal mengesan sebarang petunjuk berhubung pesawat Boeing 777  itu.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dengan kerjasama badan korporat meningkatkan kempen keselamatan di laut.
  • JOHOR BAHRU - Prestasi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yang berjaya merekodkan peningkatan keuntungan pada tahun lalu menunjukkan perniagaan itu dapat diuruskan dengan baik selaras dengan fungsi penubuhannya.
  • SHAH ALAM - Baucar KFC bernilai RM10 menanti pengunjung bertuah yang mengunjungi Jualan Gudang Karangkraf Awal Tahun 2018, semalam dan hari ini.
  • BACHOK - Malaysia tidak akan muflis hanya jika dengan tohmahan yang dilemparkan oleh pembangkang mengenai ekonomi negara ini.
  • KUALA LUMPUR - Tentera Udara Diraja Malaysia menghargai tiga pegawainya yang terkorban ketika melaksanakan tugas dengan menganugerahkan pangkat lt kol secara posthumous.