• Ismail Sabri Yaakob Ismail Sabri
1 /

BERA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah menetapkan garis panduan kepada pengusaha pusat rawatan kecantikan bagi memastikan perkhidmatan mereka menjamin hak dan keselamatan pengguna.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka yang gagal mematuhi garis panduan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perubatan 1971, Akta Pembantu Kesihatan 1977, Akta Jururawat 1950, Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 serta Akta Perubatan Tradisional dan Komplimentari 2012.

"Garis panduan itu adalah berikutan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia menerima 3,586 aduan berhubung industri kecantikan sejak tahun 2010," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pihak kementerian memandang serius berhubung aduan berkenaan.

"Pihak kementerian akan mengedarkan garis panduan kepada 48,000 pengusaha kecantikan di seluruh negara dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau berkata menerusi garis panduan itu, pusat rawatan kecantikan dilarang menyediakan perkhidmatan penyuntikan, pil dan menggunakan cecair kimia kerana ia hanya tertakluk kepada pihak berkuasa Kementerian Kesihatan. - Bernama