KUALA LUMPUR - Ketua Jabatan sebuah hospital di Lembah Klang yang didakwa melakukan gangguan seksual ke atas doktor pelatih seliaannya disyorkan digantung tugas.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan berkata, tindakan  perkara itu adalah hasil keputusan jawatankuasa siasatan bebas yang ditubuhkan melalui kerjasama kementeriannya dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Jelasnya, langkah penggantungan tugas itu dibuat berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

"Satu laporan akan diserahkan kepada Majlis Perubatan Malaysia (MPM) untuk menyiasat ketua jabatan berkenaan berhubung salah laku melibatkan kakitangan profesional berdasarkan peruntukan yang disediakan di bawah Akta Perubatan 1971.

Sebelum ini, laporan ekslusif media tempatan mendedahkan aktiviti seorang ketua jabatan sebuah hospital di Lembah Klang yang kerap melakukan gangguan seksual.

Pemangsa menjadikan doktor pelatih wanita sebagai sasaran dan mengugut akan mengagalkan latihan perubatan mereka jika tidak mengikut kehendaknya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Menteri janji siasat kes ketua jabatan hospital gila seks]

Mengulas lanjut, Dzulkefly meminta agar semua pihak menunggu kenyataan rasmi daripada kementerian tersebut berhubung pemindahan pegawai-pegawai perubatan dan perubatan pakar.

"Berkenaan laporan berita mengenai pemindahan pegawai-pegawai perubatan dan pegawai-pegawai perubatan pakar, mohon untuk tunggu kenyataan-kenyataan rasmi yang berikutnya daripada Kementerian Kesihatan berkenaan perkara ini," katanya.