TANGKAK - Semua pihak termasuk masyarakat diminta berganding bahu mengekalkan ketenteraman dan keamanan negara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penglibatan semua peringkat termasuk masyarakat adalah penting dalam memastikan keharmonian negara kekal.

“Selaku Kementerian Dalam Negeri (KDN), ini tugas besar. Nak tentukan keselamatan negara terus terjamin bukan hanya terletak di bahu saya dan rakan-rakan, tapi rakyat jelata pun harus berganding bahu kalau nak pastikan negara selamat.

“Untuk ketika ini, saya dah mulakan tugas di KDN dan kami dah pun bincang pelbagai isu serta masalah nak kekal keselamatan dan ketenteraman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis kesyukuran dan berbuka puasa di Masjid Jamek Bukit Gambir, semalam.

Tambah Muhyiddin, pihaknya yakin dengan kemampuan dan keupayaan team dari KDN, namun usaha itu akan lebih berkesan sekiranya mendapat kerjasama semua pihak.

“Saya yakin dengan team yang kukuh ini boleh beri impak dan kesan untuk jamin keselamatan negara sampai bila-bila. Moga kami terus mendapat kerjasama yang baik dan erat.

“Banyak rancangan yang ada dalam pemikiran saya khususnya soal keselamatan imigresen dan hubung kait dengan peringkat kementerian,” katanya.