KUALA LUMPUR - Kreatif, variasi dan bijak. Itu gambaran selepas menyaksikan Art to Wear – Fashion Presentation yang dianjurkan Galeri Petronas, di sini, baru-baru ini.

Disertai lapan orang pereka fesyen muda, pertunjukan tersebut menyaksikan sebanyak 32 koleksi rekaan dipersembahkan dengan tema artistik dan eksperimentasi.

Lapan pereka tersebut ialah Dayang Intan Almurid yang membawa tema The Element of Tokyo Street Style, Lydia Natasha Azmi (Candy Couture), Faiz Ripin (Harley-Davidson Art), Eliyana Erni Yusoff (Naive Art Reimagined), Arie Sampornak (The Mask), Ixora Kamarulbaharin (Future Tradition), Aida Ismail (The Art of Fabric Manipulations) dan Naim Hasbullah (Kabuki Revisited).

Pengarah Galeri Petronas, Intan Razak berkata program yang dianjur adalah platform terbaik pereka fesyen muda menimba ilmu disamping menonjolkan bakat mereka.

“Saya teruja dengan apa yang disajikan pada hari ini. Mereka sangat berbakat dan kreatif. Kami mahu pereka-pereka muda ini yakin dengan apa yang mereka hasilkan,” katanya.

“Kami berharap platform yang disediakan ini, serta ditambah pula dengan sokongan media, dapat membantu mengembangkan lagi bakat mereka disamping memberi pendedahan kepada masyarakat tentang seni fesyen itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Kurator program dan Pensyarah Kanan Seni Reka Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), Faizal Hamid berkata, pihaknya berterima kasih kepada Galeri Petronas kerana mewujudkan program yang menyokong seni dan budaya karyawan tempatan.

“Inisiatif ini adalah satu program yang bagus sebagai pendedahan kepada masyarakat terhadap seni fesyen itu sendiri.

“Hasilnya, ia menunjukkan bahawa pereka-pereka ini mempunyai visi dan wawasan cemerlang dalam industri fesyen. Lihat sahaja aspirasi dan kreativti yang mereka tonjolkan, sungguh mengujakan,” katanya.

Tambah Faizal, beliau mahu masyarakat menghargai fesyen itu sebagai satu cabang seni kerana jika lukisan ia menggunakan warna, tetapi fesyen menggunakan fabrik sebagai medium dalam menghasilkan sesuatu karya. - Bernama