SHAH ALAM - Negara akan mendapat manfaat sekiranya ada lebih ramai murid-murid bukan Cina mengikuti pelajaran mereka di sekolah rendah Cina.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon berkata, tidak rugi murid-murid bukan Cina dapat mempelajari bahasa Mandarin dan memahami dengan lebih dekat mengenai budaya Cina sekali gus mengeratkan perasaan muhibah antara kaum.

"Bahasa Mandarin bukan milik kaum Cina sahaja, tetapi kaum-kaum lain juga mempunyai peluang untuk mempelajarinya," kata Sin Woon kepada China Press.

Menurut beliau, negara kita memerlukan ramai guru bahasa Mandarin untuk mengajar di sekolah menengah dan sekolah kebangsaan bagi memberikan peluang kepada lebih ramai murid-murid bukan Cina menguasai satu lagi bahasa yang asing bagi mereka.

Sin Woon turut menolak andaian ciri-ciri sekolah rendah Cina akan berubah apabila semakin ramai murid-murid bukan Cina mampu menguasai bahasa Mandarin dengan baik.

"Ada khabar angin menyatakan apabila bangsa Melayu dapat bercakap bahasa Mandarin dengan fasih, ciri-ciri sekolah rendah Cina akan berubah. Saya memberikan jaminan identiti dan ciri-ciri sekolah rendah Cina pada hari ini tetap akan kekal sampai bila-bila," tegasnya.