KUCHING - Kegagalan sebilangan rakyat tempatan mendaftarkan status perkahwinan mereka dengan wanita warga asing menjadi antara punca anak gagal didaftarkan sebagai warganegara.
Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah berkata banyak kes dilaporkan membabitkan rakyat Sarawak khususnya yang bekerja di sektor pembalakan di Papua New Guinea berkahwin dengan wanita asing dan menetap di situ, untuk beberapa tahun.
"Bila rakyat tempatan berkahwin dengan warga asing, mereka perlu mendaftar status perkahwinan mereka kepada pihak yang berkenaan untuk mengelak pelbagai kesulitan dan kesukaran anak mereka untuk mendapat status kerakyatan negara ini," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyampaian bungkusan kuih raya sumbangan Persatuan Masakan dan Kuih Sarawak kepada 80 anak yatim Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim di sini hari ini.
Fatimah berkata akibat tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan sijil beranak, anak terbabit pastinya sukar untuk mendapat peluang pendidikan apabila membesar kelak.
Justeru beliau menasihati rakyat Sarawak yang berkahwin dengan wanita warga asing supaya berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di luar negara meskipun usia perkahwinan mereka melebihi tiga atau empat tahun.
Usaha ini, katanya memudahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat menghulurkan bantuan bagi kanak-kanak yang mempunyai dokumen pengenalan yang sah.
"Dengan berbuat demikian (mendaftar) kita juga dapat mengelakkan anak-anak daripada tercicir sama ada dalam pelajaran ataupun kemudahan lain yang disediakan kerajaan,' katanya. - Bernama
- Sarawak belanja RM300 juta naik taraf bekas jalan balak
- Taib Mahmud enggan masuk campur urusan Kabinet
- Kabinet: Richard Riot dilantik menteri penuh
- Kabinet: Joseph naik pangkat ke menteri penuh JPM
- Kes mengandung tanpa nikah meningkat di Sarawak
- Lantikan Tiki Lafe kuasa Yang di-Pertuan Agong
- Tabung Wira Lahad Datu: Kerajaan Sarawak sumbang RM1 juta
- SPM: Cacat penglihatan tak halang Sun catat keputusan membanggakan
- Nur Misuari diingatkan tidak ambil kesempatan
- Michael Padel diberi penghormatan pengebumian pahlawan




