PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata perkahwinan remaja perempuan 15 tahun di Kelantan mendapat persetujuan gadis itu.

Katanya berdasarkan laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), perkahwinan yang melibatkan remaja itu dengan lelaki berumur 44 tahun adalah atas dasar ‘suka sama suka’.

“Kami mendapati remaja perempuan itu adalah isteri kepada seorang duda yang sudah bercerai selama empat tahun...  remaja itu bukan isteri kedua,” kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2018 di sini hari ini.

Media melaporkan perkahwinan remaja 15 tahun dengan seorang anggota Jabatan Sukarelewan Malaysia (Rela) berusia 44 tahun di Kelantan baru-baru ini. Lelaki itu mempunyai dua orang anak hasil daripada perkahwinan sebelumnya.

Dr Wan Azizah berkata beliau telah memaklumkan kepada Kabinet hari ini berhubung usaha-usaha yang giat dilaksanakan untuk meningatkan perkahwinan bawah umur kepada 18 tahun.

Beliau berkata kerajaan prihatin dengan kejadian perkahwinan bawah umur dan keburukannya terhadap kanak-kanak dari segi sosial, kesihatan, pendidikan dan kewangan.

Dr Wan Azizah berkata usaha untuk meningkatkan umur perkahwinan kanak-kanak perempuan memerlukan  kerjasama pelbagai agensi dan juga pindaan akta.

“Sesetengah undang-undang di bawah bidang kuasa kerajaan negeri manakala ada yang di bawah Mahkamah Syariah. Untuk meminda Kanun Keseksaan, ia akan melibatkan pindaan Perlembagaan,” katanya.

Pada 13 September lalu, Dr Wan Azizah mengetuai satu jawatankuasa yang terdiri daripada pelbagai agensi berkaitan mencapai kata sepakat untuk menaikkan umur perkahwinan bagi kanak-kanak perempuan kepada 18 tahun.

“Usaha-usaha sedang giat dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan bagi memastikan ianya dapat segera direalisasikan,” katanya. - Bernama