DAMANSARA - Forum 'Pelaburan China di Malaysia - Adakah Ia Keterlaluan?' akan diadakan berikutan isu pelaburan China di Malaysia yang mendapat perhatian rakyat dan memerlukan perbincangan yang menyeluruh.

Forum yang dianjurkan oleh Institut Rakyat ini akan berlangsung pada jam 8 malam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, pada Khamis depan.

Pengarah Institut Rakyat, Nurul Izzah Anwar berkata, pihaknya mengambil peluang ini untuk mengingatkan orang ramai bahawa siapa lagi yang mempunyai hak untuk mempersoalkan pelaburan yang berlebihan daripada negara China kalau bukan rakyat Malaysia sendiri.

Menurutnya, jika dilihat dari segi pelaburan yang terlibat, 14 memorandum persefahaman telah ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan negara China yang bernilai RM143.6 bilion.

"Nilai ini bersamaan dengan 55 peratus peruntukan yang ditetapkan oleh Bajet Persekutuan 2017.

"Isu ini memerlukan perbincangan yang holistik dan menyeluruh pada peringkat kebangsaan dan inilah yang diharap oleh Institut Rakyat," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Keadilan, dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut tentang forum ini, Izzah berkata, forum ini akan menjemput bekas pemimpin negara, Tun Dr Mahathir Mohamad  dan pakar ekonomi Profesor Dr KS Jomo dan Azrul Azwar Ahmad Tajudin.

Tambahnya, perbincangan forum ini merangkumi faedah-faedah dan kelemahan  yang disebabkan oleh pelaburan dari China yang mana ia akan dibincangkan dengan terperinci oleh ahli panel daripada segi aspek politik, ekonomi dan sosial.

"Hadirin juga diberi peluang untuk menyuarakan pendapat dan menimbulkan persoalan yang berkaitan dengan topik tersebut," katanya.

Tambah Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, pihaknya juga akan memaklumkan penganjuran program ini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keselamatan sepanjang majlis tersebut berjalan lancar.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.