KUALA LUMPUR – Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) hari ini menjelaskan Forest City menyaksikan peningkatan pembeli dari Singapura dan Malaysia yang ketara hasil daripada usaha pemasaran.

Dalam kenyataan hari ini, menurutnya usaha pemasaran turut menyasarkan negara lain seperti Hong Kong, Macau, Taiwan, Singapura, Indonesia, Thailand, Laos, Myanmar, Filipina, Emiriyah Arab Bersatu (Dubai) dan Jepun.

“Asas pelanggan kami setakat ini adalah pelbagai dan hampir kepada 30 negara. Kami menjangka representasi pembeli rumah dan pelabur akan meningkat dengan ketara dalam masa terdekat,” katanya.

CGPV juga berkata artikel dalam The Washington Post telah memetik seorang pegawai syarikat yang bukan jurucakap rasminya.

Pemaju itu mengulas artikel pada 10 September yang menyatakan pembangunan Forest City terperangkap dalam perselisihan antara China dan negara-negara jirannya, memetik pegawai syarikat itu.

“Kami terkejut The Washington Post tidak memberikan CGPV hak pertama untuk mengulas mengenai perkara sensitif yang dibangkitkan dalam artikel itu.

“CGPV terbuka untuk berbincang dengan The Washington Post bagi memberi penjelasan daripada pihak kami mengenai perkara itu atau mengesahkan sebarang maklumat yang diperoleh oleh wartawannya,” katanya.

CGPV turut menjelaskan Shattuck-St. Mary’s Forest City International School yang baru dibuka mempunyai kapasiti untuk menampung 1,000 pelajar.

“Jumlah itu adalah sasaran untuk tempoh tiga hingga lima tahun berdasarkan bermulanya sekolah itu pada Ogos 2018,” katanya.   

CGPV adalah usaha sama antara Country Garden Holdings, syarikat pembangunan hartanah yang disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong, dan rakan kongsi tempatan di Johor.- Bernama