SEPANG -  Felda Global Venture Holdings Bhd (FGV) dijangka menerima laporan daripada panel siasatan dalaman ke atas empat orang bekas ahli lembaga pengarahnya pada penghujung bulan ini, kata  Pemangku Pengerusi FGV, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika menghantar seramai 76 jemaah haji yang diuruskan Felda Travel hari ini, beliau berkata lembaga pengarah FGV akan membuat keputusan berdasarkan penemuan dan laporan  panel siasatan.

"Sama ada (empat orang yang disiasat) bersalah atau tidak, kita buat keputusan (selepas terima laporan panel siasatan). Lembaga pengarah akan fikir apa tindakan selanjutnya.  Ini siasatan dalaman jadi ia adalah hak mutlak lembaga pengarah," katanya lagi.

Tambah Sulaiman, pada masa ini tiga daripada empat bekas ahli lembaga pengarah sudah selesai disoal dan hanya berbaki seorang lagi. Siasatan ke atas setiap seorang bekas ahli lembaga pengarah mengambil masa seminggu.

“Proses siasatan ini masih berterusan dan setakat ini semua yang terlibat bekerjasama yang baik kepada ahli panel. Panel siasatan  berkenaan  yang dianggotai oleh tiga ahli adalah  bebas kerana mereka tidak terlibat dalam keputusan untuk mengambil tindakan,” katanya.

Laporan sebelum ini menyebut  empat orang yang disiasat  ialah bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan FGV Datuk Zakaria Arshad, bekas ketua pegawai kewangan kumpulan Ahmad Tifli Mohd Talha serta dua lagi pegawai pengurusan kanan.

FGV dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia sebelum ini berkata, lembaga pengarah FGV memutuskan untuk merujuk  Zakaria dan  Ahmad Tifli  kepada panel siasatan dalaman  selepas menilai dan menimbang surat tunjuk sebab mereka berhubung isu berkaitan dengan hutang tertunggak Safitex Trading LLC kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd. - Bernama