KUALA LUMPUR - Pemangku Pengerusi baharu Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Tan Sri Sulaiman Mahbob berkata, Lembaga Pengarah akan mencari langkah untuk membaiki prestasi kewangan syarikat.

Sulaiman, 68, menggantikan Tan Sri Isa Samad yang meletak jawatan hari ini.

"Pertama, saya mengucapkan setinggi terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kerana memberi kepercayaan (kepada saya). Saya dan Lembaga Pengarah akan berusaha melaksanakan amanah beliau, khususnya untuk membaiki tadbir urus korporat Felda Global," katanya.

Dalam temu bual eksklusif bersama Bernama News Channel hari ini, beliau berkata, semua tindakan yang diambil oleh Isa mengenai siasatan akan diteruskan sehingga ia mencapai matlamatnya.

Sulaiman, yang juga Pengerusi Telekom Malaysia Bhd berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan entiti berkaitan dengan FGV untuk memperbaiki model perniagaan.

Katanya langkah itu untuk memastikan FGV akan terus berdaya saing dan mampu mencatatkan keuntungan.

Sebelum pelantikan itu, Sulaiman juga merupakan ahli Lembaga Pengarah FGV, pernah berkhidmat dalam kerajaan selama 38 tahun dengan memegang pelbagai jawatan.

Ini termasuk sebagai Ketua Pengarah di Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, serta di bawah Setiausaha (Ekonomi) Kementerian Kewangan.

Beliau sebelum itu adalah Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. - Bernama