SUNGAI PETANI – Situasi tenang dan terkawal serta tiada kawasan limpahan air di Kota Kuala Muda dan Tanjung Dawai yang dijangka berlaku fenomena air pasang besar.

Aktiviti masyarakat di kedua-dua kawasan juga dilaporkan tidak terjejas dan berjalan seperti biasa.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang melakukan rondaan awal pagi ke Bilik Gerakan Mukim, Pejabat Penghulu Mukim Kuala/Haji Kudong mendapati tiada hujan di kawasan berkenaan namun berlaku tiupan angin bayu laut.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda,  Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, bacaan air laut pasang surut pada jam kira-kira 2 pagi mendapati air berada pada ketinggian 1.30 meter berbanding bacaan ramalan ialah 2.95 meter.

Beliau berkata, pegawai bertugas diketuai Leftenan Muda (PA) Azizan Hashim bersama tiga lagi anggota turut membuat rondaan di jalan utama dari Kampung Hujung Tepi Sungai hingga ke Kampung Sungai Yu.

“Setakat ini, kita dapati tiada limpahan air laut di persisiran pantai termasuk di lokasi tumpuan berdekatan tadika lama Kampung Paya dan tinjauan juga mendapati tiada ban yang pecah di Kampung Bukit Meriam.

“Walaupun bacaan paras air laut di Kampung Hujung Tepi Sungai dilihat ada trend menaik namun keseluruhan kawasan termasuk di Kampung Sungai Yu, Kampung Paya, Kampung Padang Salim dan Kampung Kepala Jalan didapati tenang dan terkawal,” katanya.

Sementara itu, di Tanjung Dawai dan Sungai Pial, Merbok, bacaan air laut pasang surut dilihat menurun serta tiada limpahan ke daratan.

“Maklumat penduduk memaklumkan bacaan paras air laut di Saliran Ban Merbok setinggi 1.10 meter pada jam 3 pagi berbanding bacaan ramalan ialah 2.95 meter.

“Bagaimanapun, bacaan telah menurun ke paras bawah 1 meter pada jam 3.30 pagi ketika rondaan dilakukan,” katanya.

Sama seperti di Kota Kuala Muda, keadaan di Tanjung Dawai, Sungai Pial , Arked Niaga dan Pengkalan Kakap, Merbok juga tenang dan terkawal.

Kota Kuala Muda dan Merbok antara kawasan persisiran pantai yang dijangka berlaku fenomena air pasang besar di Kedah.