KUALA LUMPUR - Felda merancang mentransformasi tanah rancangannya kepada ‘bandar pintar’ di bawah program Felda 2.0 menjelang 2050 yang antara lain mampu menyediakan opsyen baharu pendapatan.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata tanah rancangan berwajah baharu itu bakal menyediakan infrastruktur dan kemudahan asas lebih tersusun selain dilengkapi infrastruktur capaian internet berkelajuan tinggi.

Menurutnya, antara peluang menjana pendapatan baharu yang boleh diterokai ialah dalam bidang pelancongan.

“Kita  tidak boleh berpuas hati dengan pendapatan pertanian sahaja atau hanya kembangkan ekonomi misalnya dengan buka kedai semata-mata," katanya sewaktu menjadi anggota panel sesi Dialog Transformasi Nasional (TN50) yang mengupas tajuk 'Pemimpin Generasi Baharu Felda Aspirasi Menuju Tahun 2050' di sini hari ini.

Menurutnya, apa yang ingin dilihat ialah orang luar termasuk anak peneroka sendiri datang membelanjakan wang dalam pelbagai aktiviti yang dirancang bagi tanah rancangan Felda.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bertindak selaku moderator sesi dialog yang dihadiri lebih 500 peserta itu.

Shahrir memberitahu pemberita kemudian bahawa buat permulaan, projek Felda 2.0 akan dimulakan di tanah rancangan Felda Lurah Bilut di Pahang mulai Januari tahun hadapan dengan jangkaan peruntukan RM10 juta.

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif itu turut menggunakan pendekatan TN50 dengan input  termasuk daripada masyarakat akar umbi.

Antara cadangan yang diutarakan oleh peserta dialog hari ini ialah keperluan membina sebuah hospital Felda. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.