PUTRAJAYA - Gagasan Sejahtera yang diketuai Pas telah melancarkan Dokumen Malaysia Sejahtera yang juga merupakan fasa kedua manifesto Malaysia Sejahtera menjelang PRU14.

Dokumen berkenaan menjelaskan dengan lebih spesifik dan terperinci tawaran yang dikemukakan gagasan itu kepada 12 golongan sasar rakyat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Gagasan Sejahtera telah mengenal pasti tiga isu utama yang menjadi tumpuan iaitu pelaksanaan GST, kejatuhan mata wang ringgit dan kenaikan kos sara hidup.

"Justeru, Gagasan Sejahtera melancarkan manifesto peringkat kedua yang merangkumi tawaran mengikut 12 kelompok masyarakat.

"Menerusi 12 kelompok masyarakat ini, sebanyak 84 tawaran dikemukakan bagi menunjukkan kesediaan kita menghadapi PRU14," katanya ketika pembentangan tawaran berkenaan, malam tadi.

Hadi (tengah) menurunkan tandatangan bagi pelancaran Dokumen Malaysia Sejahtera.

Kesemua 12 kelompok berkenaan merangkumi wanita, golongan kelainan upaya (OKU), anak muda, golongan para petani, penternak dan nelayan, peneroka felda, penjawat awam, pekerja swasta, warga emas dan pesara, orang asal, usahawan, korporat dan alam sekitar.

Antara tawaran menarik bagi kelompok penjawat awam adalah tawaran cuti khas menjaga ibu bapa yang sakit kronik, cuti bersalin tiga bulan tanpa had bilangan anak selain skim bonus kekal dua kali setahun.

Pelancaran Dokumen Gagasan Sejahtera disempurnakan oleh Pengerusi Gagasan Sejahtera yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berlangsung di Hotel Everly, Putrajaya.

Hadir sama, Presiden Berjasa, Abd Kadir Mamat; Presiden Parti Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir; bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Pengerusi Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, Raja Idris Raja Kamarudin.