MELAKA -  Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) sentiasa mempertingkatkan usaha memperluaskan pasaran antarabangsa bagi memastikan tidak berlakunya lambakan durian tempatan atau kemerosotan harga bagi tempoh masa yang panjang.

Ketua Pengarah Fama Datuk Ahmad Ishak berkata usaha ini dibuat selepas dijangkakan pengeluaran pada tahun ini melonjak tiga kali ganda berbanding pada tahun lepas iaitu sekitar 60 tan metrik disebabkan pengeluaran serentak dari negeri pengeluar durian seperti Johor, Melaka, Perak dan Pahang.

Fama sedang berusaha mempertingkatkan angka eksport durian, dan pasaran antarabangsa yang berjaya ditembusi adalah Singapura, Hong Kong, China, Korea Selatan, Kanada, Amerika Syarikat serta Australia.

“Sebagai contoh bagi pasaran China setakat ini, kita hanya dibenarkan mengimport durian dalam bentuk ulas atau isi yang dibekukan dan produk makanan berasaskan durian. Kita belum lagi dapat menghantar durian dalam bentuk sebiji atau segar disebabkan beberapa kekangan.

“Justeru, kita akan terus mengadakan rundingan dengan kerajaan China untuk menghantar durian dalam bentuk buah segar dan kita yakin kaedah itu akan dapat mempertingkatkan kuantiti eksport ke negara berkenaan memandangkan Malaysia antara negara pengeluar durian bermutu tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival 'Melaka Durian Street' di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Karnival 'Melaka Durian Street' yang memasarkan lebih 78 tan metrik pelbagai buah-buahan bermusim itu berlangsung selama 13 hari bermula Selasa lepas, dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Majlis tersebut dirasmikan Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka Norhizam Hassan Baktee dan turut dihadiri Pengarah Fama Melaka Che Samudin Hassan.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata Durian Darling atau D88 yang dikeluarkan di Melaka boleh dikomersilkan secara meluas dan diiktiraf sebagai ikon durian bagi negeri berkenaan seperti Bentong dan Raub, Pahang yang sinonim dengan Musang King atau Johor (D101).

“Durian Darling ini boleh ditanam dan dikeluarkan secara lebih meluas di Melaka menggunakan teknologi moden yang mampu meningkatkan kualiti penanaman selain memendekkan tempoh masa pengeluaran,” katanya.

Sementara itu, Che Samudin berkata Fama negeri akan berusaha menjadikan Durian Darling yang banyak ditanam di sekitar Ayer Molek, Tehel dan Tiang Dua di sini sebagai 'trademark' raja buah berkenaan untuk negeri Melaka.

“Durian Darling ini sebenarnya telah lama ditanam di Melaka tetapi tidak secara meluas dan namanya tenggelam apabila durian klon lain seperti Musang King dan D101 lebih mendapat permintaan yang tinggi daripada penggemar durian tempatan dan antarabangsa,”  katanya.

D88 mempunyai ciri tersendiri yang mana beratnya hanya sekitar 1.5 hingga 2 kilogram sebiji, warna isi yang kurang menyerlah namun memiliki rasa  pahit dan lemak yang lebih berbanding Musang King.

Dalam pada itu, katanya Karnival 'Melaka Durian Street' yang telah berlangsung selama lima hari itu bermula 17 Julai lepas telah berjaya menjual kira-kira 35 tan metrik buah-buahan bermusim seperti durian, rambutan, manggis dan mata kucing dengan nilai jualan sekitar RM125,000. - Bernama