SHAH ALAM - Penulis terkenal Faisal Tehrani, yang menyertai Persatuan Penulis Kaum India Malaysia (Kavyan) sebagai Ahli Kehormat semalam, mengharapkan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar novel terbarunya, Perempuan Nan Bercinta tidak diharamkan oleh pihak berkuasa.

Novel yang dilancarkan Perdana Menteri Selasa lalu kini berdepan risiko pengharaman apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilaporkan sedang membincangkan kewajaran mengambil tindakan itu atas alasan dikaitkan dengan fahaman Syiah.

Penolong Pengarah (Penyelidikan I) Bahagian Perancangan dan Penyelidikan (Cawangan Akidah) Jakim, Mohd Aizam Masod mengakui Perempuan Nan Bercinta sedang diteliti dengan mendalam.

Ketika ditemui di sini semalan, Faisal juga berkata, beliau berasa hairan dan tertanya-tanya ekoran ada ura-ura yang mengatakan Jakim sedang merancang untuk mengharamkan karya terbarunya itu.

"Perdana Menteri sendiri telah lakukan banyak usaha untuk tarik perhatian masyarakat pengarang khususnya sasterawan Melayu dengan curahkan duit yang banyak supaya pengarang-pengarang kita lebih luas tasawuf mereka.

"Najib malah merujuk kepada visi Syed Jamaluddil al-Afghani, seorang reformis bermazhab Syiah yang diterima baik, sebagai tanda aras," katanya ketika ditemui pada Program Hari Ilmu Negeri Selangor 2012 di sini.

Menurutnya lagi, karya terbarunya itu adalah satu geran untuknya sebagai ahli akademik membuat penyelidikan mengenai kewujudan Syiah di alam Melayu dan perkara tersebut tidak perlu menjadi satu ketakutan kepada masyarakat.

"Jadi ketakutan kita kepada perkara-perkara ini (kewujudan Syiah) haruslah dibuang kerana saya duduk dalam ruang sebagai ahli akademik.

"Jadi ruang ahli akademik dan keagamaan jangan sampai berseberangan walaupun ia berhubungan, jadi kami da tugas kami dan ahli agama ada tugas mereka," kata Faisal.

Faisal juga meminta ruang untuk dirinya sebagai seorang ahli akademik menjalankan tanggungjawab dan peranannya dengan baik tanpa ada sebarang provokasi serta berharap dengan jaminan Perdana Menteri karya-karyanya tidak mengalami masalah lagi.

"Saya akan terus menulis dan meneruskan kajian serta akademik seperti biasa," katanya.

Mengulas lanjut, Faisal berkata, beliau menyertai Kavyan semalam dengan matlamat mahu memecahkan benteng perkauman dalam dunia sastera di Malaysia.

Faisal berkata, sastera Melayu bukannya dikhususkan kepada orang Melayu sahaja tetapi terbuka kepada semua kaum tanpa mengira bangsa.

"Saya sertai Kavyan antaranya untuk pecahkan benteng tersebut untuk lihat karya Kavyan juga satu wadah untuk masyarakat dan penulis," katanya.

Sementera itu, Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB berkata, Kavyan mengalu-alukan kemasukan Faisal sebagai Ahli Kehormat Kavyan dan beliau ahli “Bukan Kaum India” pertama sejak keahlian dibuka kepada umum pada November 2011.

"Segala usaha dan perjuangan Kavyan demi penulis dan penulisan (tanpa mengira kaum dan agama) tidak ada apa-apa kaitan dengan mana-mana parti politik.

"Dalam isu novel Perempuan Nan Bercinta mungkin diharamkan, Kavyan tidak mahu masuk campur dalam urusan Jakim," katanya.

Namun Uthaya turut berkata, Kavyan bercadang menghantar surat kepada Perdana Menteri untuk mendapatkan pengesahan memandangkan Jakim mengesahkan sekarang dalam proses tindakan pengharaman novel itu.

$content.code.value
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.