KUALA LUMPUR - Aktivis Pakatan Harapan, Fadiah Nadwa Fikri terus mempersoalkan tindakan kerajaan yang seolah-olah tidak mencerminkan ‘Malaysia Baharu’.

Terbaru, peguam tersebut menulis di dalam laman Twitternya mendakwa polis sekali lagi memanggilnya untuk memberi keterangan.

Menurut Fadiah, kali ini dia disiasat mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman berkaitan himpunan solidariti diadakan di hadapan Balai Polis Brickfields, semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Peguam gesa mansuh sistem raja dipanggil polis]

“Saya telah dipanggil sekali lagi untuk disiasat di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman.

“Siasatan ini berkaitan himpunan solidariti berlaku semalam di hadapan Balai Polis Brickfield. Malaysia baru?” sindirnya.

Nama peguam muda ini menjadi bualan sejak beberapa hari lepas apabila dia dengan lantangnya mencadangkan sistem monarki di Malaysia dihapuskan dan menganggap ia sudah lapuk.

Kenyataan berani itu membawa padah apabila polis memanggilnya dan menyiasat Fadiah di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.