SUNGAI PETANI - Exco Pengangkutan, Alam Sekitar dan Masyarakat Cina, Tan Chow Kang menggesa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dua badan bukan kerajaan (NGO) yang didakwa menyalahgunakan peruntukan yang disalurkan Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, ia melibatkan peruntukan kepada sebuah NGO di Semeling untuk pembelian paip manakala satu lagi NGO menerima cek bernilai RM7,000 dan RM3,000 dari sumber yang tidak diketahui.
 
“Kita tidak menyediakan cek atau wang tunai kepada NGO tetapi peruntukan disalurkan bertujuan membeli alatan untuk projek pembangunan luar bandar sama ada menaik taraf dewan, beli peralatan kemudahan dan kegunaan rumah ibadat,” katanya kepada media semalam.
 
Hadir sama Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Simon Ooi; Ketua Pasukan Keadilan Kedah Tengah, Steven Koay dan Setiausaha Pasukan Keadilan Kedah Perlis, Jimmy Loh.
 
Menurutnya, beliau sudah menghubungi pegawai SPRM mengenai isu itu dan tarikh akan ditentukan kemudian untuk perbincangan lanjut.
 
Terdahulu, akhbar berbahasa Cina menyiarkan luahan dua NGO mengenai peruntukan yang disalurkan Exco berkenaan tidak seperti yang dijanjikan.
 
Pengerusi Bomba Sukarela Semeling mendakwa hanya menerima RM4,000 berbanding RM5,000 yang sepatutnya disalurkan Chow Kang.
 
Manakala, sebuah akhbar lain pula menyiarkan Pengerusi Persatuan Murid-Murid Tua SJKC Min Terk Batu 2 memiliki cek bernilai RM7,000 dan RM3,000, juga diterima melalui peruntukan Chow Kang.
 
Chow Kang mempersoalkan dari mana cek itu diperoleh kerana beliau tidak pernah meluluskan sebarang peruntukan melalui cek atau wang tunai.
 
“Sepatutnya selepas diluluskan, NGO membeli alatan yang diperlukan dari peruntukan yang perlu diambil dari pejabat daerah melalui kontraktor masing-masing.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.