KUALA LUMPUR - Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Kuala Lumpur-Padang Besar masih dalam proses pemeriksaan tren dan landasan dan belum boleh beroperasi, kata Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata, ETS hanya boleh beroperasi selepas mendapat kelulusan SPAD.
    
"Kita telah memberitahu mereka (penangguhan operasi). Tapi kalau mereka (KTMB) langgar undang-undang, kita terpaksa ambil tindakan. Kita perlu periksa beberapa landasan dan tren mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Mobile Operation Vehicles (MoVs) milik SPAD di sini, hari ini.
    
Beliau berkata, SPAD hanya akan memberi kelulusan untuk KTMB menjalankan operasi selepas menentukan bahawa keselamatan awam adalah terjamin ketika menggunakan perkhidmatan awam itu.
    
Pada Khamis lepas, KTMB mengumumkan perkhidmatan ETS sejauh 329 kilometer itu akan mula beroperasi esok dan boleh digunakan orang ramai yang ingin pulang ke utara bagi menyambut Aidilfitri.
    
Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, SPAD dijangka mengeluarkan sebanyak 400 Lesen Perubahan Sementara (LPS) untuk perkhidmatan bas tambahan sempena Aidilfitri ini.

"Pada tahun lepas kita mengeluarkan lebih 300 LPS dan kita jangka tahun ini kita akan keluarkan lebih atau sama bilangan dengan jumlah LPS yang dikeluarkan tahun lepas," katanya.
    
Berkenaan tambang bas, beliau berkata sebarang kenaikan tambang perkhidmatan awam mesti diluluskan di peringkat Kabinet terlebih dahulu.
    
Terdahulu ketika melancarkan dua unit MoVs itu, Syed Hamid berkata, kenderaan itu akan berfungsi sebagai pusat operasi bergerak SPAD yang mampu menjalankan siasatan secara terus kerana ia dilengkapi dengan kemudahan pejabat termasuk perakam video, kamera litar tertutup (CCTV), kamera penglihatan malam dan kemudahan Internet.
    
"MoVs akan digunakan untuk kita mengeluarkan notis terhadap kenderaan awam yang melakukan kesalahan di atas jalan secara terus tanpa perlu merujuk kepada
ibu pejabat SPAD terlebih dahulu dan kedua-dua unit ini akan beroperasi di sekitar Lembah Klang," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengeluarkan pekeliling bagi mengingatkan pengusaha bas ekspres di seluruh negara supaya memberi keutamaan terhadap keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain semasa sambutan Tahun Baharu Cina.
  • KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan melaksanakan operasi penguatkuasaan bersepadu 24 jam sempena perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baharu 2018, bermula 22 Disember hingga 2 Januari depan.
  • KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menubuhkan jawatankuasa siasatan keselamatan pelbagai agensi untuk menentukan punca utama di sebalik beberapa insiden kemalangan tren kargo Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
  • KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggalakkan pengguna perkhidmatan bas membuat laporan pelanggaran undang-undang melibatkan pengusaha bas dan pemandu melalui aplikasi MeterOn dalam telefon pintar.
  • JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengesan 13 kes pelanggaran undang-undang dalam operasi bersepadu melibatkan kenderaan seperti bas dan lori di Tol Skudai Arah Selatan hari ini.