SINGAPURA – Kapal tidak boleh dibiar berlabuh sepanjang masa kerana jika demikian, akan timbul masalah seperti teritip melekat di badan kapal, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai kenapa kapal layar mewah Equanimity dibawa dari Pelabuhan Klang ke Langkawi.

Kapal layar mewah itu yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tiba di Langkawi pada Rabu untuk berlabuh sementara setelah melakukan pelayaran dari Pelabuhan Klang sehari sebelumnya.

“Kapal mesti belayar. Anda perlu melayarkan kapal sekurang-kurangnya sekali dalam beberapa hari,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Australia Scott John Morrison di luar Sidang Kemuncak Asean ke-33 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di sini.

Kapal layar sepanjang 92 meter itu kini berlabuh di jeti Markas Wilayah Laut 3 Tentera Laut Diraja Malaysia (Mawilla 3) di Bukit Malut di Langkawi.

“Mahkamah telah memutuskan Equanimity adalah milik Malaysia. Kita boleh meletakkannya di mana sahaja tetapi sudah tentu niat utama kita adalah untuk menjaga kapal itu. Kita tidak perlukan kapal sebesar itu. Ia terlalu mewah untuk kita. Kita hendak menjualnya...jika anda boleh menjadi pembelinya...bagitahu kami,” kata Perdana Menteri.

Pada 26 Okt, Mahkamah Admiraliti meluluskan terma dan syarat-syarat bagi proses pembidaan kapal mewah itu bermula dari 29 Okt hingga 28 Nov.

Equanimity, yang dirampas di Bali pada Februari dan diangarkan bernilai US$250 juta, didakwa dibeli oleh ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB.

Ia diserahkan kepada kerajaan Malaysia pada Ogos.

Dr Mahathir yang juga anggota Parlimen Langkawi sempat berjenaka: “Terima kasih kerana memberitahu saya berita ini. Saya harap apabila saya ke Langkawi nanti saya boleh melawatnya.” - Bernama