SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan mahu semua entiti penjagaan kesihatan awam dan swasta di negara ini mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH).

Menteri berkenaan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ia penting bagi memastikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang ditawar oleh entiti itu memenuhi piawaian antarabangsa.

"Piawaian akreditasi MSQH telah meningkat dan mengubah pemikiran serta kepercayaan orang awam dan pesakit antarabangsa mengenai tahap kualiti dan keselamatan dalam kemudahan penjagaan kesihatan di Malaysia.

"Pengiktirafan oleh Kementerian Kesihatan kepada MSQH melambangkan komitmen kami untuk terus mengamalkan pendekatan yang berkualiti dan selamat dalam memberi perkhidmatan kesihatan kepada rakyat," kata Liow dalam teks ucapannya pada perasmian Persidangan dan Pameran MSQH-Kementerian Kesihatan 2012 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

MSQH adalah badan akreditasi negara untuk hospital terutama dalam kemudahan penjagaan kesihatan, perkhidmatan dan pengurusan.

Persidangan dua hari mulai hari ini anjuran Kementerian Kesihatan dan MSQH dengan kerjasama Bahagian Perkhidmatan Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu menyediakan peluang untuk peserta meluaskan pengetahuan mereka dalam menambah baik kualiti dan isu keselamatan pesakit serta amalan di hospital kerajaan dan swasta.

Persidangan itu mencerminkan aspirasi dan komitmen MSQH untuk mencapai piawaian optimum dalam penyediaan penjagaan kesihatan dan kekal di hadapan dalam pembangunan perubatan di Malaysia.- Bernama