PUTRAJAYA - Tiga bekas hakim Mahkamah Rayuan dan seorang pakar perundangan dan perlembagaan dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 4 September lepas sehingga 3 September 2020.

Menurut kenyataan media dikeluarkan Pejabat Setiausaha JAC, tiga bekas hakim itu ialah Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus, Datuk Linton Albert dan Datuk Mah Weng Kwai serta Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, pakar perundangan dan perlembagaan Universiti Malaya.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah bersetuju melantik mereka sebagai anggota JAC dan pelantikan itu dibuat mengikut Subseksyen 5(1)(f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.

Keempat-empat mereka menggantikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Anantham Kasinather, bekas Peguam Besar Negeri Sarawak Datu Abdul Razak Tready dan Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya Profesor Dr Choong Yeow Choy.

“JAC merakamkan penghargaan dan terima kasih atas perkhidmatan Tun Arifin Zakaria, Datuk Anantham Kasinather, Datu Abdul Razak Tready dan Profesor Dr Choong Yeow Choy semasa tempoh mereka menjadi anggota suruhanjaya ini,” menurut kenyataan itu.

JAC ditubuhkan di Malaysia pada 2009 untuk memastikan pemilihan calon kehakiman tidak berat sebelah untuk pertimbangan Perdana Menteri, yang mempunyai kata pemutus berhubung pelantikan hakim ke mahkamah tertinggi di negara ini. – Bernama