PETALING JAYA - Semua ahli politik hendaklah mengelakkan diri daripada menyentuh tentang hal sensitif berkaitan kaum dan agama hanya demi kepentingan politik masing-masing kerana ia tidak membantu dalam pembinaan negara bangsa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) Senator P. Waytha Moorthy.

Beliau berkata semua pihak perlu menghormati antara satu sama lain dan mengekalkan keharmonian kaum yang diwarisi sejak sekian lama.

"Keamanan dan kestabilan perlu dikekalkan dan tidak dirosakkan oleh ahli politik yang terlampau, yang mahu menggunakan kaum dan agama demi kepentingan politik mereka sendiri,” katanya ketika berucap di majlis sambutan Hari Keamanan Sedunia 2018  di Pure Life Society, di sini hari ini.

Majlis yang disertai lebih 500 peserta itu dianjurkan Persatuan Rakan Keamanan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta beberapa badan bukan kerajaan sempena Hari Keamanan Sedunia yang disambut 21 September.

Pada majlis itu, satu memorandum cadangan untuk mengisytiharkan 21 Sept setiap tahun sebagai sambutan Hari Keamanan Sedunia di Malaysia diserahkan Presiden Persatuan Rakan Keamanan Malaysia Joseph Lau kepada Waytha Moorthy.

Memorandum itu antara lain turut mencadangkan supaya Taman Tasik Titiwangsa diwartakan sebagai Taman Keamanan Titiwangsa dan Anugerah Kedamaian Negara diperkenalkan sempena sambutan berkenaan. – Bernama