PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyarankan pengendali perkhidmatan rel dalam negara, mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengelak golongan OKU khususnya penglihatan cedera semasa menggunakan perkhidmatan awam itu.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Karim menzahirkan rasa sedih dan kesal apabila 17 kes OKU cedera semasa menggunakan perkhidmatan rel sejak 2004, dengan dua kes dilaporkan pada tahun ini.

“Walaupun semua kes (cedera semasa menggunakan perkhidmatan rel), kami tidak mahu ia sampai meragut nyawa. Kita mahu elak perkara ini berlaku. Saya bukan nak menuding jari kepada mana-mana pihak.

“Banyak faktor boleh menyebabkan kemalangan dalam kalangan pengguna OKU semasa penggunaan perkhidmatan rel. Semua pihak terlibat perlu mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan OKU 3/2017 di sini hari ini.

Rohani  yang merupakan Pengerusi Majlis Kebangsaan OKU, menyarankan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bekerjasama dengan pengendali perkhidmatan rel untuk mengkaji secara terperinci isu keselamatan OKU.

Pada 12 November lalu, seorang OKU penglihatan, Mohd Hanapiah Yeop Shaharudin, 49, jatuh ke landasan di Stesen Monorel KL Sentral. Mangsa kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur.

Pada mesyuarat hari ini, Rohani berkata isu keselamatan OKU semasa menggunakan pengangkutan awam dibincangkan dan SPAD turut membentangkan laporan berhubung kejadian tersebut.

Beliau berkata ciri-ciri keselamatan di setiap stesen kereta api dan tren perlu ditingkatkan dan latihan berkaitan ‘Disability Equality Training (DET)’ dan ‘Disability Related Services Training (DRST)’ diperluaskan kepada semua petugas yang terlibat secara langsung dengan pengguna perkhidmatan seperti petugas kaunter dan anggota polis bantuan.

“Melalui DET, peserta akan lebih memahami perbezaan antara kecacatan dengan ketidakupayaan dan memahami kecacatan bukanlah punca berlakunya ketidakupayaan. Melalui DRST, peserta akan memahami cara-cara mengendalikan OKU mengikut kategori kurang upaya melalui aktiviti simulasi dijalankan,” katanya.

Beliau juga menyarankan orang ramai khususnya pengguna rel sentiasa memberi bantuan kepada pengguna OKU, khususnya OKU penglihatan sekiranya mereka menuju ke gerabak kosong.

Dalam perkembangan lain, Rohani berkata satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan untuk mengkaji secara terperinci bagi melihat keperluan untuk mewujudkan satu akta khas untuk melindungi warga emas dengan holistik di negara ini.

 “Kini, kita hanya ada Pelan Tindakan Warga Emas Negara. Namun, Majlis Warga Emas menerima cadangan agar satu akta diwujudkan secara spesifik untuk menjamin kepentingan dan kebajikan warga emas.  Sehubungan itu pasukan petugas khas akan memainkan peranan melihat keperluan akta selain mewujudkan bandar mempunyai ciri-ciri mesra warga emas,” katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • IPOH - Kementerian Kesihatan menerima permohonan maaf sebuah portal berita yang beroperasi dari Singapura selepas menyiarkan laporan berunsur fitnah terhadap sebuah hospital di negara ini kononnya menyebabkan kematian seorang warganegara Singapura itu.
  • KOTA BHARU - Sesungguhnya sebagai umat Islam, beruntunglah bagi tujuh pelajar Tahfiz CT-One Islamic Centre yang meninggal dunia dalam kemala-ngan kelmarin, kerana ia satu hadiah paling bermakna daripada ALLAH SWT.
  • SHAH ALAM - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Sembilan menggesa kerajaan mengkaji semula hukuman pesalah jalan raya terutamanya melibatkan kematian.
  • JOHOR BAHRU - Masyarakat diminta supaya tidak menjadikan kemalangan melibatkan lapan remaja berbasikal yang maut dengan sebuah kereta baru-baru ini sebagai isu perkauman.