Jamil Khir Baharom

ALOR SETAR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), menjadi badan pensijilan halal tunggal di Malaysia mulai 1 Januari tahun depan bagi mengelak kekeliruan orang Islam terhadap logo halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Majlis Agama Islam Negeri dan Jakim memikul tanggungjawab berkaitan logo halal.

“Tujuannya untuk mengelak daripada pengalaman lalu dan sekarang ada tujuh pihak mengeluarkan sijil halal ini ada antara mereka tidak bertanggungjawab,” katanya selepas Hari Anugerah Kecemer­langan Akademik Seko­lah Kebangsaan Kampung Jawa di Kota Sarang Semut, semalam.

Jamil Khir me­ngulas kenyataan Timbalan Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Teh Kee Sin mendakwa industri makanan serta perkilangan akan terjejas, jika Jakim menjadi badan pensijilan halal tunggal di negara ini.

Kee Sin juga menggesa kerajaan menangguhkan perlaksanaan itu dan mengkaji kemungkinan memilih lebih daripada satu badan pensijilan sijil halal sebagai alternatif pengeluaran sijil berkenaan.

Jamil Khir berkata, syarikat dilantik lebih mementingkan keuntungan berbanding Jakim dan Main, yang mengutamakan kepentingan masyarakat Islam.

“Di seluruh Malaysia, akan ada 14 Majlis Agama Islam Negeri, dan ada 15, termasuk Jakim, pihak yang akan tetapkan logo halal tetapi di sini, logo halalnya kita akan satukan,” katanya.

Beliau berkata, andaian bahawa Jakim cuba memonopoli pengelua-ran sijil halal serta mampu memberi impak negatif terhadap operasi PKS di Malaysia adalah satu salah faham.

Katanya, seramai 62 pegawai di bahagian penguatkuasaan dilatih bagi mengendalikan tugas secara efisien.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.