SANDAKAN - Merentasi Laut China Selatan bakal menjadi cabaran kepada tujuh anggota Ekspedisi 1Malaysia Julang Jalur Gemilang Sabah–Perlis 2012 yang akan memulakan perjalanan Jumaat ini.
   
Ekspedisi itu yang dijalankan sempena sambutan kemerdekaan negara diketuai oleh Azhar Ariffin dari Telekom Malaysia dan enam anggota Pasukan Polis Marin (PPM).
   
Mereka akan mengambil masa seminggu untuk sampai ke lokasi terakhir di Kuala Perlis, Perlis pada 15 Sept.
   
Menurut Azhar ini adalah kali ketiga ekspedisi sama dianjurkan selepas 2009 dan 2012 dan kali ini mereka akan menggunakan bot prototaip Belacak 37 berukuran 11.2 meter, bot ronda generasi baru PPM.
   
Katanya ekspedisi ini akan bermula di Tawau pada Jumaat ini dan akan merentasi lautan ke Sandakan, Kota Kinabalu dan Sarawak sebelum merentasi Laut China Selatan untuk sampai ke lokasi terakhir di Kuala Perlis.

"Sepanjang perjalanan, anggota ekspedisi akan singgah di beberapa kampung yang terletak di pesisir pantai, pulau dan sungai bagi mengagih-agihkan Jalur Gemilang kepada penduduk kampung.
   
"Ia bagi membolehkan masyarakat di kawasan berkenaan merasai kehangatan sambutan bulan kemerdekaan di samping dapat menyemai dan menyemarakkan semangat patriotik cintakan negara," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
   
Ekspedisi itu dinaungi Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan Telekom Malaysia sebagai penaja utama.
   
Pegawai Pemerintah PPM Sandakan, ASP Gan Ping Sin berkata seorang pegawai kanan dan lima anggota PPM menyertai ekspedisi itu secara sukarela.
   
Gan yang juga Pengerusi Kelab Polis Marin Sabah berkata seorang daripada anggota ekspedisi itu adalah wanita iaitu Koperal Ainah Badean yang bertugas sebagai Watch Keeping Officer (WKO) di PPM Sandakan.
   
Katanya antara objektif ekspedisi tersebut termasuklah sebagai landasan untuk menyemarakkan semangat pelaut bagi anggota PPM dan sebagai program kepolisan kemasyarakatan dengan memberi input mengenai tugas dan peranan PPM. - Bernama