SHAH ALAM - Ekonomi negara teruk semasa pemerintahan BN bukan seperti dilaporkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jadi penganalisis ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berpendapat, kenyataan dikeluarkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkenaan keadaan ekonomi negara sebagai kuat dan kukuh bertujuan mengembalikan keyakinan pelabur luar mengenai ekonomi negara.

“Sebenarnya ekonomi Malaysia adalah dalam keadaan teruk, nazak selepas teruk dibinasakan oleh kerajaan terdahulu (BN) dan menjadi tanggungjawab kerajaan baharu (Harapan) untuk memulihkan kembali ekonomi negara, rejim baharu berjaya mengubah persepsi dan sentimen pelabur tentang ketelusan dan prospek tahap rasuah dalam negara.

“Kita beruntung kerana harga minyak naik semasa belanjawan dibuat pada 2017 iaitu dari AS$52 kepada AS$80 setong. Hasil jualan dari petroleum ini akan beri keuntungan kepada kerajaan baharu kerana negara mengeluarkan kira-kira 500,000 tong minyak sehari,” katanya.

Menurutnya, sumber asli, komoditi dan sektor ekonomi lain di Malaysia juga akan menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekaligus membantu perkembangan ekonomi negara.

Sementara itu, mengulas mengenai pelabur asing yang menarik keluar ekuiti tempatan bernilai kira-kira RM2.4 bilion seminggu selepas PRU14, Barjoyai berkata perkara itu berlaku bukan kerana pertukaran kerajaan.

“Kehilangan pelabur adalah disebabkan pelabur jangka pendek ini mengambil peluang keadaan persekitaran pelaburan Amerika Syarikat dengan kenaikan nilai Dolar Amerika dan jangkaan kenaikan kadar faedah.

“Pelabur ini juga cuba mengelak risiko kerugian jika suasana pelaburan tiba-tiba menjadi muram kerana kemungkinan rusuhan. Alhamdulillah, suasana di Malaysia amat memberangsangkan, pertukaran rejim berlaku dengan amat tenteram dan mengagumkan seluruh masyarakat dunia,” katanya.

Barjoyai berkata, beliau menjangkakan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara akan kembali pulih dalam masa dua hingga tiga minggu lagi kerana pasaran negara adalah antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara.

Terdahulu, Najib melahirkan rasa hairan bagaimana ekonomi negara boleh berubah hanya dalam masa dua minggu selepas kerajaan baharu memerintah.

“Saya hairan betapa cepatnya ekonomi negara bertukar dari kononnya dalam keadaan krisis dan gagal sebelum PRU14 kepada ekonomi yang kuat dan kukuh. Cuma 2 minggu lebih sahaja,” kata Najib di Twitter.

Sebelum PRU14, Harapan mendakwa Malaysia adalah sebuah negara gagal dan bakal muflis sekiranya BN terus memerintah negara namun pada Jumaat lalu, Guan Eng dilaporkan berkata ekonomi negara kekal kukuh walaupun perlu memperbaiki keadaan fiskal semasa.