SHAH ALAM - Ekonomi Malaysia memang berada dalam kedudukan yang lebih baik di mana pertumbuhan positif berlaku sejak 2016 hingga September 2018.

Namun Pensyarah Kanan Putra Business School Universiti Putra Malaysia, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata pertumbuhan yang dijana dengan hutang sebenarnya berisiko tinggi.

“Kita sedia maklum hutang negara telah berjumlah RM1 trilion jika kita tidak bersedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku, pertumbuhan ekonomi yang dijana dengan hutang ini berisiko tinggi.

“Sama ada pada skala global seperti krisis kewangan atau skala tempatan melibatkan jurang pendapatan antara kaya dan miskin serta keberhutangan rakyat yang tertinggi di Asia Tenggara,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, langkah-langkah pemantauan dan reformasi sistem monetari perlu dilaksanakan dengan segera untuk bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang boleh memudaratkan negara.

Beliau turut sependapat dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menyatakan ekonomi Malaysia tetap kukuh berbanding beberapa negara lain.

“Untuk memberi rumusan bahawa ekonomi kukuh atau sebaliknya, tidak ada satu indikator yang khusus sebaliknya kita perlu melihat banyak indikator yang merangkumi aspek ekonomi secara keseluruhan.

“Menteri senaraikan indikator positif yang menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia adalah kukuh, ia tidak boleh dinafikan kerana  jika dibandingkan indikator tersebut dengan negara-negara luar, Malaysia memang berada dalam kedudukan yang lebih baik.

“Namun, kita juga harus berhati-hati kerana negara kita mudah terkesan dengan faktor luaran seperti ketidakstabilan harga minyak, harga komoditi dan ringgit serta indeks bursa. Kita juga mudah tergugat jika pelabur asing membuat penjualan secara besar-besaran,” katanya.

Katanya lagi, segala indikator positif yang disebut Guan Eng boleh bertukar menjadi sebaliknya jika negara tidak bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal tiba seperti krisis kewangan global lebih-lebih lagi Malaysia mengamalkan ekonomi berasaskan hutang.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng senarai 9 faktor pengukuhan ekonomi Malaysia ]