KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melabel kerajaan hari ini mempunyai format jawapan sama iaitu menyalahkan Umno dan dirinya.

Beliau sempat menasihatkan agar pimpinan PH melaksanakan tugas masing-masing terhadap rakyat.

"Eh salah Umno pula? Saya rasa kerajaan hari ini ada 'template' jawapan. Kalau dah tak tahu nak buat atau cakap apa, salahkan Umno dan salahkan Najib.

"Cukuplah dengan alasan-alasan. Rakyat dah bosan dengar semua benda salah kerajaan lama. Buatlah kerja dan tunaikanlah janji," katanya melalui Facebook, hari ini.

Beliau turut berkongsi berita Sinar Harian bertajuk 'Umno tak peduli pun isu PTPTN yang melaporkan Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan mendakwa Umno tidak mempedulikan masa depan PTPTN dan anak bangsa.

[ARTIKEL BERKAITAN: Umno tak peduli pun isu PTPTN]

Beliau secara sinis bersetuju dengan dakwaan tersebut sambil menyenaraikan inisiatif BN.

"Betullah Umno tak peduli pun pelajar. Yang tak peduli dululah yang laksanakan PTPTN buka peluang pengajian tinggi. Yang tak peduli dululah yang hasilkan makin ramai graduan setiap tahun.

"Yang tak peduli dululah yang beri diskaun bayaran balik sehingga 20 peratus. Yang tak peduli dululah yang beri pengecualian bayaran balik dan biasiswa untuk semua pemegang ijazah pertama.

"Yang tak peduli dululah yang beri geran kepada pencarum skim simpanan pendidikan. Yang tak peduli dululah yang benarkan bayaran balik dengan KWSP dan diberi diskaun juga. Yang tak peduli dululah yang lanjutkan tempoh mula bayar balik selepas pengajian kepada 12 bulan," katanya.

Tambahnya, "saya nak tanya, PH yang begitu prihatin dan ambil berat hari ini, apakah bantuan yang telah diberikan kepada pelajar?."

Katanya lagi, walaupun bajet BN lebih kecil berbanding PH namun banyak perkara dilakukan bagi meringankan beban graduan.

"Dulu Bajet BN kecil, kami tetap boleh bantu pelajar dan meringankan beban graduan untuk bayar balik PTPTN.

"Kini, Bajet PH jauh lebih besar RM314.5 bilion tetapi semua bantuan telah berkurangan atau ditarik balik. Yang hidup senang dan selesa hari ini kamu (Wan Saiful) dan Dr Maszlee Malik (Menteri Pendidikan)," katanya.