KUALA LUMPUR - Kerajaan akan melancarkan Electronic Government Unclaimed Money Information System (eGUMIS) pada suku kedua tahun depan untuk memudahkan semakan status wang tidak dituntut dilakukan terutamanya oleh penduduk di luar bandar.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata terdapat sebanyak 52,015 permohonan untuk menuntut wang yang tidak dituntut telah dibuat pada tahun ini dengan 34,353 permohonan dari sekitar Kuala Lumpur sahaja.

“Jabatan Akauntan Negara Malaysia akan turut menyertai Pusat Transformasi Komuniti Mudah Alih anjuran Kementerian Kewangan bagi membolehkan rakyat terutamanya di kawasan luar bandar mengakses dan menyemak status wang tidak dituntut,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) mengenai langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kewujudan wang tidak dituntut.

Katanya sehingga 31 Oktober tahun ini, jumlah wang yang tidak dituntut adalah RM5.96 bilion dengan 70 peratus daripadanya disumbangkan oleh urusan perbankan seperti akaun simpanan, akaun semasa dan akaun simpanan tetap yang tidak aktif selama lebih tujuh tahun.

Menjawab soalan tambahan Sim Tong Him (Bebas-Kota Melaka) mengenai tempoh wang tidak dituntut yang akan dipegang oleh kerajaan, Othman berkata Jabatan Akauntan Negara sebagai pemegang amanah wang tidak dituntut berhak memindahkan wang berkenaan ke Akaun Hasil Disatukan selepas tempoh 15 tahun.

Bagaimanapun, katanya pemilik atau waris masih boleh membuat permohonan ke atas wang tersebut walaupun selepas wang itu dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan dengan mengemukakan dokumentasi lengkap termasuk sijil kematian sekiranya pemilik sudah meninggal dunia dan surat beranak sebagai bukti hubungan kekeluargaan. - Bernama