SHAH ALAM  - Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) mencadangkan pemberian baucar buku bernilai RM250 kepada pelajar dan golongan yang layak dibuat menerusi e-Wallet.

Presidennya, Ishak Hamzah berkata, pihak industri berpandangan sekiranya peruntukan terus dimasukkan dalam kad debit, ia meninggalkan kesan ketara kepada penggiat industri buku.

"Dalam cadangan kami kepada kerajaan, peruntukkan RM250 perlu dibuat dalam bentuk e-Wallet dan hanya boleh dibelanjakan ke arah beli buku. Maknanya khusus untuk beli buku, cadangan ini telah diberi Menteri Pendidikan Tinggi, dan peringkat perbincangan dengan Menteri Kewangan.

"Kami pihak industri amat berharap kerajaan benar-benar serius untuk memberikan baucar buku kepada pelajar seperti yang dijanjikan dalam Bajet 2018, yang secara jelas di sebut baucar buku bukan kad debit," katanya ketika ditemu bual dalam siaran langsung Facebook Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, cadangan menggunakan e-Wallet ataupun dalam bentuk baucar sama sekali tidak ambil hak pelajar kerana nilai RM250 masih diberikan kepada golongan tersebut.

"Sekiranya peruntukan disalurkan terus menerusi kad debit, wang tu habis begitu sahaja. tetapi sebaliknya jika RM250 itu diberikan dalam bentuk baucar buku, ia meninggalkan implikasi yang baik terutama kepada industri dan penggiat buku.

"Pekedai buku, penjual, pencetak buku dan akhirnya kepada ekosistem yang melibatkan banyak isi rumah. Impak kepada isi rumah sangat luas berbanding  dengan berbelanja RM250 beli tiket wayang atau berbelanja di kedai untuk keperluan diri, " katanya.

Beliau berkata, penggunaan kad debit menyebabkan pelajar boleh mengeluarkan tunai, manakala baucar buku bercetak pula menyebabkan banyak salah guna.

“Oleh sebab itu, e-Wallet adalah langkah terbaik kerana ia tidak membabitkan kos cetak lebih-lebih memudahkan kawalan dilakukan ke atasnya," katanya.

Kerajaan dalam Bajet 2018 mengumumkan bantuan baucar buku RM250 untuk setiap penuntut IPT dan tingkatan 6 diwujudkan semula seperti tahun-tahun sebelum ini. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada 1.2 juta pelajar.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SERDANG - Pesta Buku Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini, akan menjadi acara tahunan berikutan sambutan menggalakkan diterima daripada pengunjung.
  • SHAH ALAM - Pemberian baucar buku yang diganti dengan kad debit kepada pelajar untuk membeli buku, alat tulis, alatan komputer dan akses internet bakal memberi kesan buruk kepada seluruh rangkaian industri buku.