KUALA LUMPUR - Tan Sri Dzulkifli Ahmad memandang serius kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang melabelkan beliau sebagai 'pengkhianat negara'.

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menyifatkan kenyataan Mohd Shukri sebagai tuduhan teramat berat.

"Sepanjang tempoh hampir 25 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam Malaysia, saya menjalankan tugas diamanahkan dengan penuh tanggungjawab, profesional serta memberikan komitmen tinggi.

"Saya sesungguhnya tidak pernah pada bila-bila masa menjadi atau bertindak sebagai ‘pengkhianat negara’,” katanya, dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Dzulkifli berkata, Mohd Shukri telah menghubunginya dan memohon maaf atas kenyataan tersebut.

“Saya amat terharu dan ingin memaklumkan bahawa Datuk Seri Mohd Shukri menghubungi saya pada pagi ini melalui WhatsApp dan sebagai seorang berjiwa besar, beliau memohon maaf kepada saya di atas kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan terhadap diri saya dalam sidang media semalam.

“Saya amat bersyukur dan berlapang dada untuk menerima permohonan maaf beliau dan kami berdua menyifatkan bahawa isu ini telah pun selesai,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Mohd Shukri dalam sidang media pertamanya selepas dilantik ke jawatan itu, memaklumkan beliau memohon untuk bersara awal pada 2016 dengan alasan mahu menyambung pengajian kerana tidak mahu berkhidmat di bawah Dzulkifli yang dianggapnya pengkhianat negara.

Katanya, Dzulkifli kurang berintegriti dalam menjalankan siasatan berhubung skandal RM2.6 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).