KUALA LUMPUR - Presiden Filipina, Rodrigo Roa Duterte telah menganugerahkan pingat tertinggi iaitu Pingat Ketua Pengakap Filipina kepada Mejar Jeneral Prof Datuk Dr Zin  Bidin (B) yang merupakan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) merangkap Ahli Jawatan Kuasa Mesyuarat Persatuan Pengakap Untuk Kerjasama Serantau-ASEAN (ASARC).

Turut menerima pingat adalah Ahli Jawatan Kuasa Pengakap Wilayah Asia Pasifik merangkap Penolong Setiausaha, Persatuan Pengakap Untuk Kerjasama Serantau-ASEAN (ASARC), Rajalingam Ramasamy.

Pingat telah disampaikan oleh Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Kerajaan Filipina,  Pantaleon Alvarez semasa pembukaan rasmi Jamboree ASEAN Ke-6 di Energy Park, Apokon, Tagum City, Davao del Norte, Filipina pada 27 November lalu.

Pada majlis itu, Malaysia telah menghantar 114 orang peserta yang mewakili Negeri Sabah, Johor dan Terengganu.

Ketua Kontinjen Malaysia, Raymond Epun dari PPM Sabah menyatakan tanda rasa berpuas hati dengan layanan yang telah diberikan oleh Pengakap Filipina.

Sementara itu, Rajalingam berkata, tema Jambori Asean ini ialah pertumbuhan dan kestabilan dan Jambori kali ini diberi penekanan untuk menjalin persahabatan yang baik, membangun kemesraan sedia ada di antara negara-negara ASEAN.

"Ini akan menyumbangkan kepada pertumbuhan dan kestabilan pergerakan pengakap di Wilayah ASEAN. Pengakap Malaysia patut mengambil peluang ini untuk datang dan belajar mencari pengalaman di semua aktiviti yang dijalankan di Jambori ini," kata Rajalingam.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara PPM merangkap Pesuruhjaya Pengakap Sabah, Datuk Dr Awang Zainie Suntim berkata, beliau melahirkan rasa gembira kerana Kerajaan Filipina telah mengotakan janji mereka untuk menjaga keselamatan semua peserta termasuk peserta dari Malaysia.

"Mereka mengadakan kawalan trafik dengan baik,  menempatkan di setiap 5 kilometer sepanjang jalan menuju ke Jambori Asean dan keliling Jambori dengan anggota polis dan tentera siap bersenjata lengkap dan juga di semua hotel-hotel penginapan pegawai-pegawai jemputan," katanya.

Turut sama dalam majlis tersebut, Dr Allan L Rellon, Datuk Bandar bagi Bandar Tagum dan isteri, Pengerusi ASARC, Wendel E Avisado

Antara negara-negara yang turut serta menjayakan jambori tersebut ialah Sri Lanka, East Timor, Nepal, Belanda, Maldives, Macau, Kuwait, Korea Selatan, India, Hong Kong, Kanada dan Bangladesh.

Jambori tersebut berakhir pada 1 Disember 2017

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Pergerakan Pengakap Malaysia telah menerima kunjungan daripada Pegawai Eksekutif Pengakap di Ibu Pejabat Pengakap Negara United Kingdom, Matt Hyde, di sini, baru-baru ini.
  • KUALA LUMPUR - Seramai 56 orang peserta Persatuan Pengakap Malaysia (PPM) menyertai Bengkel Pemfailan Standard di sini, Ahad lalu.
  • KUALA NERUS - Majlis Pengakap Malaysia dengan kerjasama Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional akan mengembangkan sayapnya dengan menubuhkan Majlis Pengakap Lebah di peringkat kebangsaaan tidak lama lagi.
  • KANGAR - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah negara memerlukan pengakap yang berupaya memainkan peranan sebagai medium penyatuan dan perpaduan kaum di peringkat sekolah.