SUNGAI PETANI - Hubungan magis antara pensyarah dan pelajar yang akhirnya bertukar menjadi sahabat sejati, antara kenangan manis pertemuan Lee Chai Chuen, 42, dan Dr Nor Azrina Mohd Yusof, 37, seawal tahun 2002.

Ketika itu, Chai Chuen mengajar Bahasa Mandarin di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang; manakala Nor Azrina atau lebih mesra dengan panggilan Yina pula merupakan pelajar Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) di kampus sama.

“Disebabkan semakin rapat, saya ajar dia Bahasa Melayu dan dia ajar saya Mandarin. Nak bagi lancar lagi, saya tanya soalan dalam Mandarin, dia pula jawab dalam Bahasa Melayu,” jelas Yina.

Hubungan kedua-dua pelajar dan pensyarah ini semakin hari semakin erat apabila menyedari berkongsi minat sama, iaitu melancong.

Menurut Yina, selepas habis belajar, dia menjadi pensyarah sambilan sambil menyambung pengajian ke peringkat Sarjana sebelum menerima tawaran biasiswa ke peringkat doktor falsafah dalam bidang Perakaunan.

“Kami sering berkongsi idea dan pengalaman agar lebih kreatif dalam kerjaya masing-masing.

“Hubungan persahabatan yang terjalin lebih 10 tahun membolehkan kami banyak menghabiskan masa bersama termasuk melancong ke Beijing, China pada 2012, New Zealand (2013) dan Korea (2016),” katanya.

Selain itu, kedua-dua sahabat ini mempunyai hobi sama iaitu menonton wayang dan drama bersiri, selain banyak menghabiskan masa membeli-belah di mana Chai Chuen suka mengumpul koleksi jam, manakala Yina suka mengumpul koleksi beg tangan dan kasut.

Menjawat jawatan sama

Hubungan antara Chai Chuen dan Yina boleh diibaratkan seperti belangkas, ke mana saja pasti bersama.

Akhirnya, kedua-dua yang boleh diibaratkan bagaikan ‘belangkas’ ini ditakdirkan menjawat jawatan sama iaitu pensyarah kanan di UiTM Cawangan Kedah dan juga penasihat Kelab Bahasa Mandarin UiTM Kedah (UKMC).

Gabungan kedua-dua sahabat ini menjadikan UKMC sebagai salah satu kelab paling aktif di UiTM Merbok, Kedah sehingga dikenali bukan sahaja di negeri Kedah, malah seluruh negara.

Antara kejayaan yang dicapai ialah berjaya menarik minat pelajar Melayu mempelajari Bahasa Mandarin sehingga meraih kecemerlangan dengan pelbagai aktiviti dianjurkan hasil gabungan mantap dua personaliti berlainan bangsa itu.

Kejayaan yang tercipta termasuk menganjurkan pertandingan Sketsa Muzikal Mandarin dan wayang kulit bertemakan hikayat masyarakat Cina, serta pertandingan video filem pendek P Ramlee versi Mandarin.

Mereka juga berjaya menjemput dua pensyarah dari China bagi mengadakan lawatan delegasi ke UiTM Kedah pada 2017 yang mendekatkan hubungan antara dua negara terutama dalam aspek pendidikan dan kebudayaan.

Menurut Chai Chuen, UKMC pernah mendapat jemputan sempena Majlis Makan Malam Tahunan Persatuan Pelabur Taipei Malaysia dan persembahan drama muzikal Mandarin berserta wayang kulit bertajuk Legenda Puteri Bulan sempena Karnival Pesta Tanglung 2015 peringkat negeri Kedah.

“Kami pernah membuat persembahan drama muzikal Mandarin bertajuk Masam-Masam Manis Tribute P Ramlee sempena Program Transformasi Legenda Kedah 2.0,” katanya.

Antara penyertaan akademik yang disertai mereka berdua ialah mewakili Malaysia ke Workshop for Chinese Teachers from the Countries along the 21st Century Maritim Silk Road di China 2016 dan memenangi The Most Favourite Teacher dan The Best Group Presentation.

Kedua-duanya juga pernah menyertai 6th International Innovation, Invention and Design Competition 2017 (INDES 2017) pada November dan memenangi 1 Gold Award dan 1 Silver Award.

Akrab seperti keluarga

Hubungan mereka bukan sahaja rapat di tempat kerja, malah saling menziarahi keluarga antara satu sama lain setiap kali perayaan menjadikan hubungan mereka bagaikan sebuah keluarga.

Malah, adik kepada Chai Chuen, Lee Chai Ling juga mengambil jurusan sama dengan Yina semasa dalam pengajian mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan ketiga-tiga mereka.