ORANG ramai sudah boleh menulis ikrar merdeka masing-masing bagi menyahut seruan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) bagi menjayakan kempen #mydinmypledge bertemakan Raikan MalaysiaKu yang dilancarkan hari ini.

Ketua Bahagian Pemasaran & Komunikasi Jenama Mydin, Sabariah Mohd berkata, pihaknya menyediakan dua mekanisme khusus bagi memudahkan orang ramai dan organisasi berbuat demikian.

Menurutnya, bagi mereka yang membeli-belah di rangkaian pasar raya besar, emporium mahupun pusat beli-belah Mydin, pelanggan boleh mendapatkan nota ikrar di kaunter informasi atau khidmat pelanggan, sebelum menulis ikrar merdeka dan melekatkannya pada papan ikrar yang terdapat di 64 cawangan Mydin seluruh negara.

“Selain itu, Mydin juga ada platform digital menerusi e-ikrar. Kami akan sediakan kod respons pantas (kod QR) di mana orang ramai boleh imbas kod QR daripada akhbar, bunting, risalah dan sebagainya yang terus membawa mereka pada halaman nota ikrar digital, sebelum nyatakan ikrar dan hantar untuk penyertaan.

“Kami akan salin semula nota ikrar yang diperoleh menerusi e-ikrar dan ditampal pada papan ikrar kami nanti. Ia bagi tujuan proses pengiraan untuk kita masukkan dalam catatan The Malaysia Book of Records (MBOR),” katanya kepada Sinar Harian.

Sabariah berkata, kempen #mydinmypledge itu akan berlangsung selama sebulan bermula 16 Ogos hingga 16 September ini.

Katanya, Mydin juga akan memilih 61 ikrar merdeka terbaik untuk memenangi hadiah istimewa, sempena sambutan hari kebangsaan Malaysia 2018 dan nama pemenang dijangka diumumkan dalam tempoh sebulan selepas tarikh tutup penyertaan.

“Kami berharap lebih banyak penyertaan daripada orang ramai untuk menjayakan kempen ini, seterusnya melaksanakan ikrar yang ditulis sebagai komitmen kita terhadap negara.

“Bukan sahaja orang ramai, penyertaan daripada mana-mana organisasi juga dialu-alukan dan mereka boleh menulis ikrar merdeka bagi diri sendiri atau bagi pihak organisasi yang menjurus kepada apa yang hendak lakukan untuk negara,” katanya.

Menerusi kempen itu, Sabariah berkata, Mydin menyasarkan mengumpul 500,000 ikrar merdeka menerusi dua mekanisme disediakan, sekali gus melayakkan mereka untuk mencipta rekod di dalam MBOR.

“Bagi tujuan ini, setiap ikrar yang ditulis perlu diletakkan sekali butir peribadi seperti nama, e-mel dan nombor telefon.

“Ia bagi mengelak duplikasi dalam penyertaan kempen ikrar ini yang menjadi antara syarat untuk masuk dalam MBOR. Jika individu sama mengemukakan dua atau lebih nota ikrar, ia hanya dikira satu sahaja.

"Jadi, kami syorkan adalah lebih baik orang ramai mengemukakan ikrar mereka, tidak kiralah berapa banyak sekalipun dalam satu nota ikrar,” katanya.

Majlis pelancaran #mydinmypledge diadakan di Mydin USJ, Subang Jaya hari ini dan dijangka dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Susulan itu, semua pengurusan dan kakitangan di 64 cawangan Mydin akan mula menampal nota ikrar merdeka di premis mereka, jam 11 pagi secara serentak.